AGENDANASIONAL

Guru tabika cedera disamun dalam kelas

MERSING, 2 JAN: Seorang guru wanita cedera di bahagian hidung selepas diserang dan disamun seorang individu di sebuah tabika Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) di Felda Tenggaroh 1, di sini, petang semalam.

Pemangku Ketua Polis Daerah Mersing ASP Mohd Nor Mohd Isa berkata kejadian berlaku kira-kira 1 tengah hari ketika guru itu sedang bersendirian, selepas pembantu dan murid di tabika berkenaan pulang.

Beliau berkata mangsa berusia 40 tahun kemudian didatangi seorang lelaki bertopeng yang bersenjatakan pisau.

“Suspek juga melarikan beg tangan mangsa yang mengandungi dokumen peribadi serta wang tunai.

“Mangsa yang mengalami kecederaan di bahagian hidung dirujuk ke Hospital Mersing bagi mendapatkan rawatan,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Kes disiasat mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan.

-BERNAMA


Pengarang :