AGENDANASIONAL

Hannah: Jadikan Ahad hari bersama keluarga

KUALA LUMPUR, 11 JAN: Timbalan Menteri Pembangunan, Wanita, Keluarga dan Masyarakat Hannah Yeoh menyarankan Ahad dijadikan sebagai hari rehat bersama keluarga.

Beliau berkata saranan itu sebagai satu langkah pencegahan dan penyelesaian dalam menghadapi tekanan kerja.

“…ini supaya mereka yang bekerja mempunyai masa untuk berehat pada hari Ahad. Jika tidak berbuat demikian (berehat), badan akan letih seterusnya mereka akan rasa tertekan untuk bekerja pada hari berikutnya.

“Secara tidak langsung, keadaan ini boleh menjejaskan kesihatan mental dan fizikal,” katanya ketika ditemui Bernama selepas melancarkan Hari Keluarga Kiara Green Townhouse di sini hari ini.

Hari Keluarga itu dihadiri hampir 100 penduduk berbilang kaum dan usia di taman perumahan berkenaan.

Pada masa sama Hannah yang juga Ahli Parlimen Segambut turut menggalakkan semua persatuan penduduk kerap mengadakan program komuniti, bertujuan mengeratkan hubungan silaturahim bukan sahaja dalam kalangan keluarga tetapi jiran tetangga.

“Seperti hari ini, saya lihat ini langkah penting dalam menganjurkan program berasaskan keluarga yang memberi lebih masa untuk penduduk saling bermesra dan mengenali antara satu sama lain.

“Mungkin program komuniti seperti ini boleh dilakukan pada Sabtu misalnya,” katanya.

Sementara itu, mengenai rayuan penduduk Taman Tun Dr Ismail (TTDI) terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang menolak semakan kehakiman berhubung projek bangunan kediaman tinggi di Taman Rimba Kiara, Hannah berkata ia bakal didengar di Mahkamah Rayuan Putrajaya pada 15 Januari ini.

Pada April 2017, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mengeluarkan perintah pembangunan di atas lot tanah seluas 4.9 hektar daripada 10.1 hektar Taman Rimba Kiara, membabitkan pembinaan satu blok 350 unit rumah mampu milik untuk komuniti rumah panjang Bukit Kiara dan lapan blok kondominium mewah 50 tingkat.

DBKL perlu membayar kira-kira RM150 juta kepada pemaju, sekiranya projek itu dibatalkan dan ia suatu pembaziran terhadap dana awam.

-BERNAMA


Pengarang :