Hee Loy Sian memantau harga barangan kawalan pada Pelancaran Skim Harga Maksimum Musim Perayaan Tahun Baharu Cina Peringkat Negeri Selangor di Tesco Extra, Mutiara Damansara, Petaling Jaya pada 20 Januari 2020. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
BERITA UTAMA EXCO SELANGOR

Harga 16 barangan dikawal sempena Tahun Baharu Cina

PETALING JAYA, 20 JAN: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Selangor menetapkan kawalan harga maksimum 16 barangan sempena Tahun Baharu Cina tahun ini, kata EXCO hal ehwal pengguna.

Hee Loy Sian berkata langkah itu dilaksana menerusi Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) meningkat tiga item berbanding 13 barangan sebelumnya melibatkan cili merah, tomato dan ubi kentang import dari China.

Beliau berkata pelaksanaannya bagi menyekat kenaikan harga dan menstabilkan bekalan barangan keperluan menjelang perayaan yang akan disambut 25 Januari ini berikutan permintaan tinggi pengguna.

“Skim ini berkuatkuasa hari ini sehingga 2 Februari dan tempohnya adalah 14 hari berkuatkuasa lima hari sebelum perayaan, satu hari semasa perayaan dan lapan hari selepas perayaan.

“SHMMP dilaksanakan mengikut Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011,” katanya pada sidang media di Tesco Mutiara Damansara di sini hari ini.

Hee Loy Sian berucap pada Pelancaran Skim Harga Maksimum Musim Perayaan Tahun Baru Cina Peringkat Negeri Selangor di Tesco Extra, Mutiara Damansara, Petaling Jaya pada 20 Januari 2020. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

Loy Sian berkata antara harga barangan yang dikawal adalah ayam hidup, telur ayam dan ikan bawal putih.

Katanya, penentuan harga maksimum pengeluar, borong dan runcit dibuat mengikut kewajaran serta kesesuaian bagi penguatkuasaan kawalan harga lebih berkesan untuk manfaat pengguna juga peniaga.

Di samping itu, KPDNHEP Selangor mengarahkan 196 pegawai penguatkuasa dan 71 pegawai pemantau harga bagi kerja pemantauan di lokasi tumpuan ramai seperti pasar awam dan pasar raya.

Untuk penyaluran maklumat, pengguna boleh menggunakan talian 1800-886-800 atau aplikasi telefon pintar Ez ADU.


Pengarang :