NASIONAL

Hargai ibu bapa, orang tersayang mampu bina pertalian erat- Wan Azizah

KUALA LUMPUR, 25 JAN: Nilai-nilai murni dalam menghargai ibu bapa dan orang disayangi mampu membina pertalian lebih erat dalam kalangan ahli keluarga sekaligus memberi penghormatan kepada mereka yang lebih tua.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dalam perutusan ucapan Tahun Baharu Cina berkata sifat berakhlak mulia dan menghormati ibu bapa serta mereka yang lebih tua adalah antara ciri-ciri yang perlu ditekankan semasa perayaan ini.

“Terutamanya budaya makan malam bersama keluarga pada ambang perayaan. Kita mesti sentiasa menghargai serta menjaga ibu bapa dan mereka yang disayangi, bukan sahaja pada musim perayaan.

“Pengorbanan mereka tidak ternilai dan ini tidak patut dilupakan. Pada Tahun Baharu Cina ini, jangan kita lupa untuk bersyukur kerana dapat bersama mereka yang tersayang,” katanya dengan ucapan “Xin Nian Kuai Le, Selamat Tahun Baharu Cina”.

Dr Wan Azizah, yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat berkata masyarakat juga seharusnya tidak melupakan golongan yang kurang bernasib baik dengan meringankan beban mereka selain melakukan kebaikan di mana sahaja berada.

-BERNAMA


Pengarang :