ADNSELANGOR

Hilman: Bersatu rencana pelan, hala tuju negara

SHAH ALAM, 1 JAN: Tahun 2020 membuka lembaran baharu buat seluruh masyarakat khususnya generasi muda untuk bersama memperkukuh tekad merencana pelan dan hala tuju pentadbiran negara.

Ahli Dewan Negeri Gombak Setia, Muhammad Hilman Idham berkata tekad itu selaras fajar perubahan yang terbit dua tahun lalu selepas Pakatan Harapan (PAKATAN) mengambil alih tampuk pemerintahan negara.

“Sejak kecil, tahun 2020 adalah satu wawasan dan harapan raksasa yang dipasak dalam kehidupan saya sebagai anak watan dan hasrat seluruh rakyat Malaysia menuju ke arah negara maju, berteknologi dan hebat.

“Sebagai kesinambungan visi dan misi ini, PAKATAN mencerakinkan Wawasan Kemakmuran Bersama yang akan membawa kita mendepani arus perubahan zaman,” katanya dalam perutusan sempena Tahun Baharu 2020.

Hilman berkata tirai 2019 dilabuhkan dengan pelbagai peristiwa, usaha dan ikhtiar pembangunan yang sudah dirancang serta dilaksanakan Kerajaan PAKATAN.

“Saya merakamkan sekalung penghargaan dan ucapan terima kasih buat sekalian warga di atas kerjasama, muafakat serta ukhwah yang dijalinkan sepanjang saya berkhidmat dan mengabdikan kepada rakyat.

“Menjadi harapan saya supaya usaha gigih ini dapat terus dilipat gandakan pada 2020. Semoga azam ini akan membawa kesejahteraan dan kemakmuran buat seluruh rakyat khususnya warga Gombak Setia,” katanya.


Pengarang :