AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Hospital pakar rawat lebih 50 kes influenza minggu ini

SHAH ALAM, 11 JAN: Hospital Pakar Ampang Puteri merawat lebih 50 kes influenza minggu ini susulan penularan virus berkenaan di negara ini.

Pakar Perunding Perubatan Dalaman dan Penyakit Berjangkitnya Dr Muhamad Yazli Yuhana berkata jumlah itu lebih tinggi berbanding tahun sebelumnya.

“Hospital mencatat lebih banyak kes berbanding tahun sebelumnya. Justeru, kami berharap masyarakat mengambil langkah pencegahan untuk melindungi diri dan keluarga mereka,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau juga menggesa masyarakat lebih peka terhadap suntikan vaksin, memastikan kebersihan tangan dan mendapatkan rawatan segera jika mengalami batuk atau selsema.

Sementara itu, FMT melaporkan pusat perubatan swasta di Subang Jaya, Ara Damansara dan Desa ParkCity menerima lebih banyak kes berbanding kebiasaan.

Selain itu, Hospital Assunta dan Pusat Perubatan Thomson di Petaling Jaya turut memaklumkan sudah kehabisan katil, manakala Pusat Pakar Damansara masih menunggu bekalan ubat influenza.

Tinjauan Harian Metro di beberapa klinik swasta sekitar Kuala Lumpur dan Selangor turut mendapati terdapat peningkatan berganda terhadap vaksin berkenaan.

Bagaimanapun, Jabatan Kesihatan Negeri memaklumkan tiada kes baharu dilaporkan di Selangor berhubung influenza A setakat ini.


Pengarang :