Dato’ Teng Chang Khim bergambar bersama penerima bantuan pada Program Sumbangan Kembali Ke Sekolah 2020 di Dewan Orang, Klang pada 19 Januari 2020. Foto SHEEDA FATHIL
ADNSELANGOR

IMFAN bimbing usahawan IKS dapat sijil halal

KLANG, 19 JAN: Kerajaan Negeri bakal melancarkan International Muslim Friendly Affiliation Network (IMFAN) Mac ini, kata EXCO pelaburan, perindustrian dan perdagangan, industri kecil dan sederhana (IKS).

Dato’ Teng Chang Khim berkata ia bagi membantu kira-kira 44,000 usahawan IKS di Selangor memperolehi sijil halal.

Katanya, mereka akan melalui lima proses secara berperingkat bermula daripada kursus sehingga ke peringkat diberi sijil halal.

“Kita mahu produk usahawan IKS ini diperkasa supaya lebih ramai yakin untuk membeli hasil jualan terutama yang sudah mempunyai sijil halal.

“Malah, sebelum ini mereka tiada kursus berperingkat seperti kita mahu laksanakan dan kalau ada pun hanya kursus di agensi yang bukan di bawah Kerajaan Negeri,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Program Sumbangan Kembali Ke Sekolah 2020 di Dewan Orang Ramai Taman Eng Ann di sini hari ini.

Pada majlis itu, Chang Khim yang juga Ahli Dewan Negeri Bandar Baru Klang turut menyampaikan sumbangan wang tunai RM100 kepada setiap pelajar sekolah rendah dan menengah dari tujuh sekolah terpilih sekitar Dewan Undangan Negerinya.

Sumbangan itu turut mendapat kerjasama daripada Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI).


Pengarang :