AGENDANASIONAL

Imigresen pastikan trafik pintu masuk negara berjalan lancar

JOHOR BAHRU, 23 JAN: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) mengambil lapan langkah proaktif bagi menangani kesesakan trafik di dua pintu masuk negara di sini berikutan cuti panjang sempena perayaan Tahun Baharu Cina.

Ketua Pengarahnya Datuk Khairul Dzaimee Daud berkata langkah-langkah itu diambil berikutan terdapat jangkaan berlaku peningkatan jumlah pengguna di pintu masuk Bangunan Sultan Iskandar (BSI), Johor Bahru serta Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB), Gelang Patah, Iskandar Puteri nanti.

Jumlah pengguna dijangka meningkat mulai esok hingga 28 Januari ini.

“Justeru bagi memastikan trafik lancar, beliau berkata JIM akan memastikan sistem jabatan di kedua-dua pintu masuk berkenaan berfungsi dengan baik serta lancar, dan semua kaunter dibuka dengan tumpuan utama adalah di laluan zon bas, kereta dan motosikal,” katanya dalam satu kenyataan yang dipaparkan di laman sosial rasmi jabatan itu semalam.

Selain daripada itu, beliau berkata pihaknya juga akan menambah 12 kaunter kereta bagi laluan kontra zon masuk di KSAB, menjadikan jumlah keseluruhan kaunter adalah 36.

Khairul Dzaimee berkata JIM juga akan membekukan cuti pegawai di BSI dan KSAB, menugaskan semula pegawai dari lain-lain bahagian atau unit ke kedua-dua pintu masuk itu serta akan menyelaras atau mengadakan kerjasama strategik dengan pelbagai agensi seperti Polis Diraja Malaysia, Jabatan Kastam Diraja Malaysia dan Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) di pintu masuk terbabit.

“Selain itu, JIM Johor juga akan mengemaskini info trafik semasa BSI dan KSAB dan mengeluarkan nasihat perjalanan dalam media sosial jabatan.

“Pembukaan kaunter khas bagi golongan ibu mengandung, orang tua, Orang Kelainan Upaya di kaunter nombor tiga dan empat di BSI (bas masuk dan keluar) turut dilakukan. Bagi KSAB, kaunter khas ini akan beroperasi di dewan kereta masuk dan keluar (kaunter nombor 11 dan 12),” tambahnya.

Khairul Dzaimee berkata orang ramai dinasihatkan supaya sentiasa patuh kepada peraturan lalu lintas dan juga arahan daripada para petugas.

Beliau malah menggalakkan orang ramai menggunakan pengangkutan awam dan berkongsi kenderaan sepanjang tempoh perayaan itu bagi mengurangkan kesesakan jalan raya.

-BERNAMA


Pengarang :