Datuk Seri Saifuddin Nasution. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Indeks Harga Pengguna 2019 turun 0.7 peratus, terbaik dalam tempoh 10 tahun

KAJANG, 30 JAN: Indeks Harga Pengguna (IHP) yang membandingkan 552 barangan utama pengguna di negara ini mencatatkan penurunan sehingga 0.7 peratus pada tahun lalu, kata Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

Menteri perdagangan dalam negeri dan hal ehwal pengguna berkata kadar penurunan lebih rendah dalam tempoh 10 tahun.

“Kita memberi perhatian terhadap turun naik harga terutama (harga) barang pengguna, malah pemerhatian akhir mendapati bahawa daripada sudut fakta IHP serta kadar inflasi relatifnya lebih rendah berbanding 10 tahun lalu,” katanya selepas melancarkan Kempen Beli Barangan Malaysia di sini hari ini.

Mengulas lanjut, katanya, Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) mengguna pakai satu piawaian yang diiktiraf antarabangsa bagi mengukur kadar IHP memandangkan data terbabit menjadi rujukan kepada bank dunia dan penganalisis ekonomi.

“Walaupun sentimen rakyat umumnya tidak berasakan begitu (IHP menurun), namun kita akan tunjuk perkara ini (data penurunan) kerana (sebenarnya) kos sara hidup bukan berkaitan IHP dan inflasi, tetapi kadar pendapatan yang memberi kesan kepada isu kos sara hidup,” katanya.

Berdasarkan rekod terkini dikeluarkan DOSM, kadar IHP dalam negara bagi 2014 menunjukkan paras 3.2 peratus, 2015 dan 2016 (2.1 peratus), 2017 (3.7 peratus) dan 2018 (1.0 peratus).


Pengarang :