AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Individu, entiti gagal pulangkan dana 1MDB akan didakwa

KUALA LUMPUR, 6 JAN: Individu dan entiti yang gagal memulangkan wang yang diterima dipercayai daripada 1Malaysia Development Berhad (1MDB) akan didakwa, kata Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Latheefa Koya.

Beliau berkata mereka akan didakwa mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001.

SPRM mempunyai nama-nama mereka yang gagal serta enggan memulangkan wang itu dan ia akan didedahkan dalam masa terdekat.

“Dalam masa terdekat, SPRM akan umumkan siapa yang akan didakwa,” katanya dalam sidang media penganjuran teater bertajuk ‘Semarak Pertiwiku’ di Istana Budaya hari ini.

Pada 7 Oktober tahun lepas, Latheefa dilapor berkata SPRM mengeluarkan notis kompaun kepada 80 individu dan entiti yang menerima wang berjumlah RM420 juta dipercayai daripada 1MDB.

Mereka yang menerima kompaun diberikan tempoh dua minggu untuk memulangkan wang berkenaan, katanya.

Beberapa pemimpin politik antara yang menerima notis kompaun itu.

Sementara itu, berhubung perkembangan terkini kes-kes berprofil tinggi yang akan dibuka semula, Latheefa menjelaskan lebih 10 kes telah disenaraikan namun butirannya tidak akan didedahkan.

“Pertama sekali, saya tidak pernah berkata hanya 10 kes… boleh jadi lebih … kami tidak akan mendedahkan kes mana yang akan dibuka semula kerana ia boleh merosakkan rancangan kami,” katanya.

Mengenai perkembangan Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kimanis, beliau berkata setakat ini, pihaknya tidak menerima sebarang laporan rasuah atau salah guna kuasa.

“SPRM telah membuka bilik gerakan bagi membolehkan orang ramai menyalurkan maklumat dan aduan salah laku khususnya tentang rasuah,” katanya.

Terdahulu, Latheefa mengumumkan teater bertajuk ‘Semarak Pertiwiku’ yang mengisahkan tentang kehidupan bersih dan bebas rasuah akan dipentaskan di Istana Budaya pada 30 dan 31 Jan ini.

-BERNAMA


Pengarang :