AGENDANASIONAL

Influenza: Sebuah sekolah dan dua kelas ditutup-KPM

KUALA LUMPUR, 15 JAN: Hanya sebuah sekolah di Perak dan dua kelas di sebuah sekolah di Pulau Pinang yang ditutup setakat semalam berikutan penularan  influenza.

Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dalam kenyataannya hari ini menjelaskan sekolah terlibat ialah Sekolah Menengah Sains Teluk Intan, Perak yang ditutup mulai 11 hingga 19 Januari dan dua kelas di SJKC Li Hwa, Pulau Pinang (ditutup mulai 7 hingga 19 Januari).

“Keputusan ini dibuat setelah mendapat nasihat dan pandangan Pejabat Kesihatan Daerah (PKD). Selain itu KPM turut menerima peningkatan laporan kes wabak influenza daripada beberapa sekolah di negeri-negeri seperti Selangor, Pulau Pinang dan Johor,” menurut kenyataan itu.

Bagaimanapun, kenyataan itu memaklumkan statistik rasmi tentang jumlah murid menghidapi influenza hanya boleh disahkan dan dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“Murid-murid juga sentiasa diingatkan supaya mengekalkan tahap kebersihan diri yang tinggi dengan amalan kerap membasuh tangan menggunakan air bersih serta sabun atau pencuci tangan selain mengamalkan adab batuk yang baik,” kata kenyataan itu.

Ibu bapa juga dinasihati tidak menghantar anak mereka yang mempunyai gejala influenza ke sekolah atau membawa tempat awam dan jika perlu berbuat demikian perlulah memakai penutup mulut dan hidung.

-BERNAMA


Pengarang :