AGENDAGLOBAL

Iran bedil 12 roket ke markas udara AS di Iraq

WASHINGTON 8 JAN: Iran melepaskan sekurang-kurangnya 12 roket ke pangkalan tentera Amerika Syarikat (AS) dan tentera bersekutunya di Ain al-Asad dan Irbil, di Iraq, hari ini.

Timbalan Setiausaha Pertahanan dan Hal Ehwal Awam Amerika Syarikat (AS), Jonathan Hoffman, dalam satu kenyataan berkata serangan itu menyasarkan dua markas yang menempatkan tentera AS dan pasukan bersekutu di Iraq.

“Kira-kira jam 5.30 petang (2230 GMT), Iran menembak berdozen misil balistik ke markas tentera AS dan tentera sekutu di Iraq,” katanya.

Setakat ini belum ada laporan mengenai mereka yang maut susulan serangan roket itu.

Agensi berita Iran, Mehr pula melaporkan serangan itu dilakukan IRGC berikutan kematian komander tertinggi IRGC, Qasem Soleimani, dalam serangan dron AS Jumaat lalu.

Timbalan ketua rangkaian tentera Hashed al-Shaab Iraq, Abu Mahdi al-Muhandis, yang dianggap ketua pasukan tentera bertindak sebagai proksi Iran di wilayah terbabit, turut terbunuh dalam serangan itu.

Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, sedang memantau laporan serangan roket terhadap lapangan terbang di barat Iraq, yang menempatkan tentera AS dan tentera bersekutu.

Jurucakap Rumah Putih, Stephanie Grisham, berkata pihaknya maklum mengenai serangan itu dan Presiden sudah diberi taklimat.

“Presiden bersama pasukan keselamatan kebangsaan sedang memantau rapat perkembangan di sana,” katanya dalam satu kenyataan.

SUMBER: Agensi


Pengarang :