EXCOSELANGOR

Jangan malu, hargai anak syurga

SHAH ALAM, 12 JAN: “Jangan malu lahirkan anak istimewa, mereka anugerah Allah yang tidak ternilai.”

Itu pesan Cikgu Anak Istimewa Selangor (AnIS), Nurul Azzura Mohamad Jafri, 25, yang meminta ibu bapa menghargai anak istimewa dan memberi didikan sewajarnya kepada mereka.

“Terima anak ini, hantar mereka ke pusat jagaan bagi mendapat pendidikan untuk masa depan. Mereka amanah yang dihantar kepada ibu bapa,” kata penerima Anugerah Cikgu AnIS Terbaik 2019.

Walaupun baru bergelar pendidik, graduan psikologi dari Australia itu menanamkan rasa cinta dan menerima ragam anak berkeperluan khas ini dengan hati terbuka.

Nurul Azzura Mohamad Jafri. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI

“Banyak dugaan dan rintangan yang dihadapi kerana mereka bukan seperti kanak-kanak lain dan ketika itulah kesabaran menjadi kunci utama,” katanya.

Nurul Azzura turut memuji usaha Kerajaan Negeri yang peka terhadap keperluan golongan berkenaan.

Sementara itu, Hana ilyani Mohamad Yatim, 33, dari Tadika An Nur Sri Kandi Telok Panglima Garang menyarankan guru supaya tidak takut dan putus asa membimbing kanak-kanak istimewa.

“Saya beralih daripada bidang sumber manusia kepada guru kerana mahu mendidik mereka.

“Kegembiraan mendidik bukan hanya pada hasil tetapi bagaimana mereka faham dan mengikuti arahan itu sudah bermakna bagi saya,” katanya.


Pengarang :