Kelihatan beberapa pelancong memakai penutup mulut dan hidung sebagai langkah pencegahan jangkitan koronavirus 2019 ketika tinjauan di ibu negara pada 27 Januari 2020. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Jangan naikkan harga topeng muka – Fomca

SHAH ALAM, 28 JAN: Peniaga digesa tidak menaikkan harga topeng muka susulan penularan wabak koronovirus ketika ini, kata timbalan presiden gabungan persatuan pengguna Malaysia (Fomca).

Sebaliknya peniaga digalak menurunkan harga atau mengedarkannya secara percuma seperti di Jepun.

“Setakat ini Fomca belum terima aduan. Namun jika ada, peniaga tidak sepatutnya mengambil kesempatan sebaliknya mereka perlu memainkan peranan bantu kerajaan dengan melaksanakan tanggungjawab sosial.

“Tidak boleh mengaut keuntungan sewenang-wenangnya dalam hal ini,” kata Mohd Yusof Abdul Rahman kepada SelangorKini.

Pada masa sama beliau mahu pengguna buat aduan kepada pihak berwajib jika terdapat kenaikan harga.

“Kerajaan perlu menguar-uarkan harga topeng muka kepada orang awam supaya mereka tahu harga yang ditetapkan dan pengeluar juga harus mempertingkatkan bekalan supaya cukup untuk pengguna,” katanya.

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna menetapkan lima jenis topeng muka sebagai barangan harga terkawal.

Lima jenis topeng muka terbabit adalah:

(i) Topeng muka (pembedahan/perubatan) satu lapisan (gelung telinga) – Harga borong RM5 sekotak , harga runcit RM7 sekotak.

(ii) Topeng muka (pembedahan/perubatan) 2 lapisan (gelung telinga) – Harga Borong RM8 sekotak, harga runcit RM10 dan RM0.20 sen seunit.

(iii)Topeng muka (pembedahan/perubatan) tiga lapisan (gelung telinga/gelung kepala) – harga borong RM25 sekotak, harga runcit RM0.80 sen seunit.

(iv) Topeng muka (pembedahan/ perubatan) tiga lapisan (ikatan pada kepala) – harga borong RM30 sekotak, harga runcit RM0.80 sen seunit.

(v) Topeng muka (pembedahan / perubatan) N95 – harga borong RM100 sekotak, harga runcit RM6 seunit.


Pengarang :