Jersi terbaharu edisi terhad 2020 itu memaparkan warna serba putih dengan sulaman merah kuning di bahagian lengan serta kolar. Foto ihsan – Laman Sesawang FA Selangor
SELANGOR

Jersi Retro 1985 FAS jadi sebutan peminat bola sepak

SHAH ALAM, 5 JAN: Jersi edisi Retro 1985 yang dikeluarkan Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) untuk disarung skuad Gergasi Merah bagi mengharungi perlawanan ‘away’ Liga Malaysia musim ini terus mendapat perhatian sehingga menjadi bualan warga maya.

Tinjauan SelangorKini di laman facebook FAS mendapati, rata-rata netizen khususnya penyokong fanatik The Red Giants terpegun melihat keunikan ditampilkan kelab diterajui Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah.

Istimewanya, rekaan kemas yang menjadi cap dagang oleh Joma bukan sahaja menjadi rebutan pengumpul jersi bola sepak tempatan, bahkan peminat pasukan lain turut menyatakan minat sama untuk mendapatkan produk gabungan elemen moden dan vintaj itu.

“Padu teruk edisi Retro ni, hanya jauhari yang kenal manikam, duit tabung ayam tak penuh lagi ni. Aduyai !! Harap sempat beli sebelum sold out (habis terjual),” coret Mohammad Sazmie Selamat.

“Away pun sudah padu, kalau jersi ‘home’ keluar nanti mesti lagi syahdu design (rekaan) dia,” tulis seorang pengguna dengan nama Kassim.

“Smart jersi yang ini sebab retro sememangnya sesuai sangat dengan Selangor. Terbaiklah,” begitu pula pandangan Mu Fir.

“Nasib baik sempat sambar sebelum habis,” tulis Mohd Safiy Hafifi Mohamad sambil disertakan sekeping gambar jersi yang dibelinya dalam ruangan komen.

Jersi terbaharu edisi terhad 2020 itu memaparkan warna serba putih dengan sulaman merah kuning di bahagian lengan serta kolar.

Selain itu, logo penaja PKNS tertera di bahagian tengah jersi manakala sebelah kanan tertulis Selangor FC dan lengan kiri ‘FUTURE IS NOW’.

Peminat berpeluang mendapatkan edisi Retro 2020 itu secara dalam talian di store rasmi faselangor.my/ms/shop dengan harga serendah RM99 (player issue) dan RM89.10 (pemegang pas bermusim).

Sebelum ini, The Red Giants melancarkan jersi edisi khas berwarna hitam dengan menggunakan rekaan ‘black out’ yang turut mencetuskan fenomena dalam kalangan peminat mereka.


Pengarang :