Kempen larangan merokok dan rokok elektronik (vape) di premis makanan. Foto BERNAMA
AGENSISELANGOR

JKNS catat nilai kompaun RM30,750 larangan merokok

SHAH ALAM, 3 JAN: Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) mengeluarkan 150 notis kesalahan merokok di premis makanan dengan nilai kompaun RM30,750 sepanjang penguatkuasaan larangan merokok sehingga semalam.

Pengarah Kesihatan Negeri, Dato’ Dr Khalid Ibrahim berkata, penguatkuasaan telah dijalankan di 562 premis mengikut Peraturan 11(1)(d) Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau (PPKHT) 2004 pindaan 2018.

“Penguatkuasaan serentak telah berjalan di seluruh negeri melibatkan seramai 147 pegawai diberikuasa.

“Daripada jumlah tersebut, tujuh notis kesalahan itu melibatkan orang belum dewasa dan salah seorang daripadanya didapati bersalah kerana memiliki rokok elektronik.

“Bagi mereka yang telah menerima notis kesalahan kerana merokok di tempat makan dikenakan kompaun RM250 dan bagi orang belum dewasa adalah RM50,” katanya dalam kenyataan.

Katanya, sebanyak 20 notis kesalahan dengan jumlah kompaun RM5,000 telah dikeluarkan kepada pemilik premis dengan 18 notis kesalahan kerana gagal mempamerkan tanda larangan merokok dan dua notis kerana menyediakan kemudahan merokok.

Dr Khalid berkata, JKNS memohon kerjasama semua pihak agar mematuhi larangan merokok bagi memastikan kesihatan masyarakat terjamin.


Pengarang :