PBTSELANGOR

Jom sertai sambutan Shah Alam Hari Tanpa Kenderaan Ahad ini

SHAH ALAM, 6 JAN: Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) mengajak orang ramai khususnya penduduk bandar raya ini untuk sama-sama memeriahkan sambutan ulang tahun ketiga Program Shah Alam Hari Tanpa Kenderaan pada Ahad ini.

Ketua Bahagian Korporat dan Perhubungan Awamnya, Shahrin Ahmad berkata, program yang bakal berlangsung di Dataran Kemerdekaan, Seksyen 14 adalah inisiatif ke arah mempromosi bandar raya rendah karbon dan mengamalkan gaya hidup sihat.

Katanya, pelbagai aktiviti menarik dirangka seperti Larian Ulang Tahun Ketiga Shah Alam Hari Tanpa Kenderaan, acara berbasikal, senamrobik, dan cabaran mendaki dinding.

“Kita turut menganjurkan program Eco Free Market bertemakan kitar semula iaitu satu acara penyaluran dan agihan semula barangan terpakai.

“Menerusi barangan kitar semula seperti botol air, botol kaca, tin aluminium dan surat khabar lama, pengunjung juga boleh mendapatkan kupon yang kemudian boleh digunakan untuk mendapatkan barangan lain,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Selain itu, Shahrin berkata, orang ramai juga dialu-alukan mengunjungi Pejabat Bergerak Shah Alam On Wheels dan Perpustakaan Bergerak untuk mendapatkan apa-apa maklumat.

Turut memeriahkan program itu ialah acara jualan pelbagai jenis pokok dan baja kompos.

Justeru, MBSA meminta kerjasama orang ramai dan pemilik bangunan untuk mengambil maklum mengenai penutupan beberapa jalan pada hari tersebut bermula jam 6.30 pagi hingga 9.30 pagi.

Antara jalan terlibat ialah Persiaran Bandar Raya (Dataran Kemerdekaan), Persiaran Perbandaran, Persiaran Tasik, Persiaran Masjid, Persiaran Dato’ Menteri dan Persiaran Damai.


Pengarang :