AGENDANASIONAL

JPJ Kelantan fokus tujuh kesalahan pada musim raya

KOTA BHARU, 21 JAN: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kelantan mempertingkatkan penguatkuasaan di negeri ini dengan memberi tumpuan kepada tujuh kesalahan utama sempena Operasi Tahun Baharu Cina 2020 selama dua minggu yang bermula Sabtu lepas.

Pengarah JPJ Kelantan, Hanif Yusabra Yusuf berkata tujuh kesalahan tersebut ialah tidak mematuhi lampu isyarat, memotong garisan berkembar, penggunaan telefon bimbit semasa memandu, memandu di lorong kecemasan, memandu di lorong kanan secara berterusan, tidak memakai tali pinggang keledar dan memotong barisan.

“Penguatkuasaan ini bagi mengurangkan kadar statistik kemalangan jalan raya serta membudayakan pemanduan secara berhemah dan pematuhan undang-undang jalan raya dalam kalangan pengguna.

“Pihak kami akan mengambil tindakan tegas terhadap pesalah lalu lintas memandangkan statistik pada tahun 2018 dan 2019 menunjukkan angka kemalangan masih tinggi,” katanya selepas melakukan pemantauan penguatkuasaan di Terminal Bas Lembah Sireh di sini.

Hanif berkata tarikh larangan pemanduan kenderaan barangan ditetapkan pada 23 hingga 24 Januari serta 27 hingga 28 Januari.

“Operasi ini melibatkan 189 anggota penguatkuasaan dan 29 buah kenderaan dari semua bahagian JPJ negeri serta 18 anggota yang menyamar sebagai penumpang bas ekspres laluan utama di Semenanjung Malaysia.

– BERNAMA


Pengarang :