Penggunaan CRS antara langkah kerajaan bagi mengurangkan kadar kemalangan dan kematian akibat nahas jalan raya di negara ini. Foto Grafik Media Selangor
AGENDANASIONAL

JPJ keluar 577 notis advokasi kerusi keselamatan kanak-kanak

PUTRAJAYA, 30 JAN: Jabatan Pengangkutan Jalan mengeluarkan 577 notis advokasi kepada pemandu kenderaan persendirian yang membawa kanak-kanak tanpa kerusi keselamatan kanak-kanak (CRS) sejak peraturan itu diwajibkan pada 1 Januari lalu.

Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook berkata walaupun tiada saman dikeluarkan sehingga Jun ini, namun notis advokasi itu dikeluarkan bagi menasihati pemandu untuk menggunakan CRS ketika membawa penumpang kanak-kanak.

“Ini hanya notis advokasi, bukan saman. Kalau ada saman tolong tunjukkan. Kita sudah jangka tidak mudah untuk mendapat kerjasama atau pematuhan sepenuhnya dalam nak memperkenalkan satu peraturan baru,” katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Loke yang sebelum itu menyaksikan Majlis Memeterai Perjanjian bagi Pajakan dan Pembangunan Hotel Grand Majestic antara Perbadanan Aset Keretapi dengan Majujaya Hebat Sdn Bhd, berkata pendekatan ‘soft landing’ diambil bagi memberi masa lebih panjang kepada ibu bapa dan pengguna untuk memahami keperluan CRS.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail pada 23 Oktober lalu mengumumkan CRS wajib digunakan dalam kereta persendirian bermula 1 Januari 2020.

Kanak-kanak yang mempunyai ketinggian 135 sentimeter ke bawah diwajibkan menggunakan CRS mengikut tahap ketinggian dan berat berdasarkan Peraturan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu iaitu R44 dan R129.

Langkah itu susulan statistik yang membimbangkan apabila sebanyak 1,559 kematian dicatatkan membabitkan kanak-kanak di bawah umur 10 tahun dari tahun 2007 hingga 2017.

-BERNAMA


Pengarang :