Foto Sumber: Kementerian Air, Tanah dan Sumber Asli
NASIONAL

Kad laporan KATS 2019: RM387 juta laksana 69 projek tebatan banjir seluruh negara

KUALA LUMPUR 9 JAN: Kementerian Air, Tanah dan Sumber Asli (KATS) memperuntukkan sebanyak RM387 juta bagi melaksanakan 69 projek rancangan tebatan banjir di seluruh negara sepanjang 2019.

Menurut Kad Laporan kejayaan dan inisiatif KATS setebal 19 muka surat yang dibentangkan, projek tebatan banjir berkenaan memberi manfaat dengan melindungi sebanyak 85,000 penduduk daripada terjejas akibat banjir di seluruh negara.

KATS yang diterajui Datuk Dr Xavier Jayakumar juga melaksanakan pengebilan bersepadu iaitu perkhidmatan air dan pembetungan dalam satu bil dan Terengganu menjadi negeri pertama melaksanakan sistem itu melibatkan 20,000 akaun pengguna, menurut Kad Laporan itu.

Foto Sumber: Kementerian Air, Tanah dan Sumber Asli

Laporan berkenaan menyebut bahawa KATS turut memperkenalkan mekanisme penetapan tarif air baharu bertujuan menentukan kadar air dan struktur tarif air yang telus dan adil.

Kementerian itu juga berjaya menyediakan bekalan air bersih dan terawat kepada penduduk Orang Asli Kuala Koh, Gua Musang, Kelantan yang sebelum itu hanya bergantung kepada air sungai dan tandak (kolam takungan) dengan kualiti dan sumbernya tidak menentu.

Menurut laporan berkenaan, 2019 juga menyaksikan kerjasama Malaysia dengan Korea Selatan dalam sektor air dan pembetungan melalui satu memorandum persefahaman yang ditandatangani Xavier dan Menteri Alam Sekitar Korea Selatan, Cho Myung-Rae pada akhir November 2019.

Foto Sumber: Kementerian Air, Tanah dan Sumber Asli

Dalam pada itu di bawah sektor tanah dan sumber asli, KATS mengambil inisiatif mengukuhkan benteng semula jadi bagi menghalang ancaman ombak besar dari laut dan angin kencang dengan menanam lebih 6.8 juta pokok bakau dan spesies pokok persisiran pantai membabitkan 2,926 hektar kawasan persisiran pantai seluruh negara.

Menurut Kad Laporan itu Malaysia berjaya mengekalkan lebih 50 peratus litupan hutan negara seperti yang dinyatakan dalam komitmen Malaysia pada Sidang Kemuncak Bumi Rio pada 1992.

Litupan hutan negara terkini melebihi sasaran iaitu melitupi 55.3 peratus daripada seluruh keluasan Malaysia, menurut Kad Laporan itu.

Tahun 2019 juga menyaksikan usaha KATS memerangi pemburu haram dengan kerjasama Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara dan Polis Diraja Malaysia menerusi Operasi Bersepadu Khazanah.

Hasil usaha memerangi pemburu haram berkenaan, sebanyak 62 orang berjaya diberkas menerusi 20 operasi tangkapan.

KATS juga melancarkan Kempen Selamatkan Harimau Malaya bertujuan mengelakkan kepupusan haiwan kebanggaan negara itu meliputi pelbagai aspek termasuk penguatkuasaan dan peningkatan kesedaran awam.

BERNAMA


Pengarang :