Menteri Pembangunan Usahawan Datuk Seri Mohd Redzuan Yusof ketika berucap pada prapelancaran Festival Ramadan Antarabangsa Kuala Lumpur 2020 di Pusat Dagangan Duania Kuala Lumpur pada 15 Januari 2020. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Karnival beli-belah antarabangsa pertama sempena Ramadan Mei ini

KUALA LUMPUR, 16 JAN: Karnival beli-belah antarabangsa pertama di Malaysia bersempena dengan bulan Ramadan – Festival Ramadan Antarabangsa Kuala Lumpur 2020, akan diadakan pada 8 hingga 17 Mei ini.

Menteri Pembangunan Usahawan Datuk Seri Mohd Redzuan Yusof berkata pada festival yang diadakan di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTC KL) itu, pengguna boleh mendapatkan produk daripada jenama tempatan dan antarabangsa di satu tempat.

Beliau berkata festival itu juga akan meningkatkan rangkaian dan penglibatan dengan mewujudkan peluang perniagaan antara usahawan tempatan dan antarabangsa bukan sahaja di Malaysia tetapi pasaran serantau dan global yang lebih luas.

“Festival Ramadan Antarabangsa Kuala Lumpur akan menjadi unik, dengan cara membawa perniagaan Muslim dan bukan Islam daripada negara anggota Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) untuk datang ke Malaysia mempamer dan menjual produk mereka,” katanya ketika berucap sebelum menyempurnakan prapelancaran festival itu di sini malam tadi.

Mohd Redzuan berkata festival itu juga akan membantu usahawan Malaysia meneroka perniagaan halal memandangkan produk patuh syariah dicari oleh sekurang-kurangnya dua bilion penduduk di dunia.

Beliau berkata festival itu bertepatan dengan kempen Tahun Melawat Malaysia 2020 dan juga Malaysia sebagai hos Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (APEC) 2020.

Karnival membeli-belah 10 hari itu dijangka menarik orang ramai dari seluruh Malaysia dengan pelbagai aktiviti hiburan, solat tarawih setiap hari, demonstrasi masakan dan persembahan kebudayaan antarabangsa yang dirancang diadakan setiap hari pada karnival itu.

– BERNAMA


Pengarang :