AGENDANASIONAL

Kastam rampas rokok seludup lebih RM300 juta pada 2019

PETALING JAYA, 23 JAN: Jabatan Kastam Diraja Malaysia merampas 466.16 juta batang rokok dengan nilai cukai RM344.95 juta sepanjang tahun lalu, kata ketua pengarahnya.

Datuk Seri Paddy Abd Halim berkata jumlah itu lebih kecil berbanding 843.89 juta batang rokok dengan nilai cukai RM624.4 juta yang dirampas pada 2018.

“Bagi tahun 2020 sehingga semalam pula, 23.97 juta batang rokok dengan nilai cukai RM17.37 juta dirampas,” katanya kepada pemberita dalam sidang media selepas menghadiri Sambutan Hari Kastam Sedunia Ke-38 di Kompleks Kastam Kelana Jaya, di sini.

Beliau berkata lebih banyak operasi akan dilakukan untuk membanteras kegiatan penyeludupan rokok serta komoditi lain.

Bagi kes penguatkuasaan kes berkaitan penyeludupan, beliau berkata 5,633 kes direkodkan sepanjang tahun lalu membabitkan pelbagai komoditi, dengan nilai cukai berjumlah lebih RM1.9 bilion.

Sementara itu, dalam tempoh dua minggu pertama tahun ini, Paddy berkata 68 kes dicatatkan membabitkan cukai berjumlah lebih RM49.72 juta.

-BERNAMA


Pengarang :