AGENSISELANGOR

KDEBWM: Kerja kutipan sisa domestik di Shah Alam lancar

SHAH ALAM, 5 JAN: Proses kutipan sisa domestik di kawasan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) oleh KDEB Waste Management (KDEBWM) berjalan lancar dan terkawal.

Pengarah Urusan KDEBWM, Ramli Mohd Tahir berkata, ia dilihat berdasarkan pemantauan berkala dan aduan diterima sejak lima hari pengambilalihan kerja kutipan bermula 1 Januari lalu.

Katanya, jumlah kutipan sampah domestik turut mencapai purata 650 tan sehari.

“Setakat ini kerja kutipan berjalan lancar, KDEBWM sedang mencuba menyelesaikan sampah yang tertunggak sebelum ini.

“Kita sedang mengenal pasti semua laluan, mengenal lorong dan jalan serta membiasakan dengan jadual.

“KDEBWM juga sedang mengenal pasti tong sampah lama dan uzur yang perlu kita pohon pada MBSA untuk ditukarkan bagi memudahkan kutipan,” katanya kepada SelangorKini.

Pada masa sama, Ramli berkata, pihaknya mengalami sedikit kekangan kerja kutipan sisa berkenaan di kampung tradisi kerana faktor kepadatan penduduk dan jalan serta lorong kecil.

Bagaimanapun, katanya, kerja kutipan berjaya dilaksanakan dengan menggunakan aset lain seperti lori roll on roll off (RORO).

“Saya lihat kawasan kampung tradisi seperti Kampung Melayu Subang, Padang Jawa, Merbau Sempah serta Paya Jaras mempunyai aduan yang tinggi sedikit.

“Kawasan kampung ini rumahnya padat dan sampah juga banyak. Banyak jalan dan lorong kecil menyukarkan lori masuk untuk membuat kutipan, malah kita terpaksa gunakan aset lain seperti RORO untuk selesaikan masalah ini,” katanya.

Sehubungan itu, Ramli berharap dan meminta penduduk Shah Alam bersabar sekiranya terdapat masalah di kawasan masing-masing kerana pihak kontraktor sedang menyesuaikan diri dengan laluan dan jadual baharu.

“Aduan kita terima terus ke Centralised Command Center. Kita cuba selesaikan terus dalam hari yang sama. Ia kebanyakannya dari sampah “miss collection” ataupun sampah tertunggak sebelum ini ketika hujung tahun dan sebagainya.

“Justeru, saya mohon penduduk bersabar sedikit kerana semua kontraktor kita sedang menyesuaikan diri dengan laluan dan jadual baharu,” katanya.

Mulai 1 Januari lalu, KDEBWM mengambil alih kutipan sisa domestik di kawasan pentadbiran MBSA membabitkan 57 zon.

Manakala, kerja kutipan pembersihan awam di kawasan itu pula dijangka akan diambil alih pada 1 Julai depan.


Pengarang :