Kebakaran hutan semakin marak. Foto Sumber: REUTERS
BERITA UTAMA GLOBAL

Kebakaran hutan Australia kembali marak, amaran baharu dikeluarkan

MELBOURNE 9 JAN: Pihak berkuasa mengeluarkan amaran baharu dan notis pemindahan di seluruh tenggara Australia susulan cuaca panas mencetuskan kembali kebakaran hutan yang mengancam beberapa bandar serta masyarakat setempat.

Agensi Berita REUTERS melaporkan notis peringkat bencana di sebahagian besar Victoria yang dikeluarkan sejak beberapa minggu lalu, dilanjutkan selama 48 jam dan penduduk di zon bahaya dinasihatkan berpindah jika dilihat selamat untuk berbuat demikian.

Menteri Perkhidmatan Bencana Victoria, Lisa Neville, berkata cuaca sejuk beberapa hari lalu membolehkan pihak bomba mengukuhkan kawalan di kawasan kebakaran yang berlaku sejak beberapa bulan.

“Namun, jangan ambil mudah hanya kerana kita menerima hujan baru-baru ini.

“Kebakaran ini masih berlaku dan bertambah di kawasan kita selain mencetuskan risiko besar kepada masyarakat,” katanya.

Seramai 26 individu meninggal dunia, ribuan hilang tempat tinggal serta ribuan lagi terpaksa berpindah beberapa kali susulan kebakaran besar berlaku di kawasan seluas lebih 10.3 juta hektar – kawasan seluas Korea Selatan.

Pihak berkuasa memaklumkan kebakaran akan berterusan, mencetuskan bahaya ketika suhu tinggi dan berangin, sehinggalah negara itu menerima jumlah hujan yang tinggi.

Agensi cuaca rasmi mengesahkan bahawa jumlah hujan yang tinggi tidak akan berlaku untuk beberapa bulan akan datang dalam laporan tahunannya, yang turut menunjukkan 2019 sebagai tahun paling panas dan kering bagi Australia.

Krisis ketika ini tercetus susulan kemarau selama tiga tahun yang menyebabkan sebahagian besar kawasan hutan belukar di negara itu terdedah dengan kebakaran.

Kebanyakan bandar terputus bekalan elektrik dan telekomunikasi, manakala sebahagian kawasan hampir kehabisan bekalan minuman. Asap tebal pula menyelubungi Sydney, Melbourne dan Canberra, serta berterbangan sehingga ke Amerika Selatan.

Sebahagian besar Pulau Kangaroo, kawasan pelancongan yang kaya dengan hidupan liar di pantai tenggara negara itu di mana Perdana Menteri, Scott Morrison merayu kepada pelancong asing supaya tidak terhalang dengan kebakaran, juga terpaksa dipindahkan sekali lagi.

Satu pertiga daripada kawasan pulau itu musnah akibat kebakaran.

SUMBER: REUTERS


Pengarang :