BUDAYARENCANA

Kebenaran juga punya banyak wajah

Oleh Lokman Hakim

SEBAIK sahaja solat Jumaat diakhiri, saya melihat seorang politikus berdiri tegak di tengah-tengah masjid lalu bersumpah laknat. Dia menafikan setiap tuduhan yang mengatakan bahawa dirinya itu pelopor genosid sekumpulan penulis yang pernah mengkritiknya. Katanya lagi sekumpulan penulis itu sendiri memilih untuk mati beramai-ramai sewaktu berada di dalam tahanan.

Saya tidaklah ambil serius sumpah laknat politikus seperti itu. Tidak juga menjangka dia akan dipanah petir ataupun ditimpa malapetaka serta-merta. Apa yang saya kisahkan adalah sebegitu ramai orang mengelilingi politikus tersebut lalu melaungkan takbir.

Mungkin saya harus ambil serius di mana saya patut menunaikan solat Jumaat kemudian hari. Pada waktu ini, saya harus pekakkan telinga dan tinggalkan segera masjid ini.

 

2.

Seingat saya, sekumpulan penulis yang dikatakan mati beramai-ramai itu, tidaklah mati semuanya. Ada segelintir masih selamat dan aktif menulis karya-karya satira yang memerli setiap politikus dan beberapa orang kenamaan di negara ini.

Demi memastikan sumpah laknat politikus di masjid tempoh hari itu satu kebodohan, saya mendatangi rumah salah seorang daripada penulis-penulis tersebut. Nama penanya Joey. Isterinya, Naemah menyambut saya dengan senyuman sedikit hambar.

“Walaupun dia terselamat, tapi dia ibarat zombi. Hidup segan, mati tak mahu,” ujar Naemah lalu menangis teresak-esak.

“Di mana dia sekarang?”

Naemah membawa saya ke sebuah bilik yang terletak betul-betul di belakang rumah dan dikelilingi sebuah taman yang begitu indah. Dindingnya ditampal puisi-puisi Joey yang seiring dengan kehijauan dan warna-warni bunga yang pelbagai di situ. Cukup menenangkan. Sebaik sahaja tiba di hadapan bilik Joey, saya dapat mendengar bunyi papan kekunci ditekan laju. Pastinya Joey khusyuk mengarang. Saya tidak mahu mengganggunya pada waktu itu.

Naemah berbisik: “Dia hanya keluar untuk makan saja. Dia sakit, begitu kurus dan tidak bertegur dengan sesiapa termasuk saya.”

Kedengaran bunyi tapak kaki begitu lantang memijak lantai papan. Saya menoleh dan mendapati anak lelaki Joey berusia lapan tahun berlari ke arah kami. Dia berhenti lalu menuding ke arah pintu bilik ayahnya.

“Dalam itu ada hantu!”

Saya dapat melihat muka Naemah bertukar pucat. Adakah benar Joey masih ada di dalam bilik itu atau sesuatu yang lain?

 

3.

Joey ataupun nama sebenarnya, Juhamri pernah menulis surat kepada politikus tersebut. Isinya ringkas sahaja dan melekat di dalam kepala ini:

“Kekuasaan memabukkan manusia walau apa jua asal-usulnya. Apa yang si mabuk boleh lakukan untuk orang lain? Segala-galanya tentang dirinya sendiri. Dan kami mengundi orang baik untuk menjadi pemabuk yang tidak akan insaf. Kitar itu tidak berhenti-henti. Barangkali, ia sumpahan ke atas manusia sejak azali.”

Surat itu saya yang hulurkan sendiri pada politikus itu. Dia membacanya serta-merta tanpa sebarang perubahan pada wajah. Seolah-olah surat itu sama sahaja seperti surat-surat yang dihantar tanpa identiti pengirim.

“Lazami, kamu patut tahu, orang awam takkan tahu betapa anehnya langit. Hujan turun, ada yang mengeluh, ada yang memaki, ada yang bersyukur dan macam-macam lagi. Apabila hari cerah, begitu juga. Tidak ada orang sependapat hingga azali.

Benar, memegang kuasa itu bermaksud mengawal kehidupan orang lain dan apa yang mereka faham tentang visi? Tiada jalan kejayaan yang tidak menuntut pengorbanan.”

Dalam kepala, saya membayangkan betapa angkasawan tidak perlu memikirkan hal-hal manusia yang perlu dipimpin mahupun menjadi pemimpin. Mereka lebih akrab dengan langit berbanding manusia yang lain. Saya tersengih sendiri.

“Kalau tuan lihat ia begitu dan penulis ini lihat tuan pula berlainan, sedangkan ia sebenarnya isu perspektif, tidakkah ia bermakna kebenaran itu punya banyak wajah?”

 

4.

Saya dipukul. Mungkin seperti buyong yang diperbuat daripada tanah liat, kebenaran harus dibentuk dengan cermat. Keganasan membentuk kebenaran. Kepolosan juga mengadun kebenaran. Namun, pukulan demi pukulan ini langsung tidak berpola. Dipenuhi dendam kesumat. Kebencian yang mendalam.

Darah membentuk lopak dan saya lemas di dalamnya. Waktu sudah berkecamuk. Seingat saya, sebuah kereta hitam memintas kereta saya ketika di dalam perjalanan balik ke rumah dari rumah politikus itu. Mungkin politikus itu membenci saya. Mungkin juga Juhamri membenci saya tetapi adakah dia mampu menghantar orang untuk memukul saya? Saya tidak tahu.

Mereka menyepak muka saya berulang-kali sehingga gigi berterabur. Hidung patah. Mata bengkak.

Malam itu, saya tidak peduli lagi apa-apa mengenai  apa yang akan berlaku.

 

5.

Kebenaran hadir di pintu rumah saya pada hari Sabtu. Betul-betul sesudah insiden sumpah laknat oleh politikus itu di masjid semalam. Saya membiarkannya berdiri terpacak di situ, mendengar ketukan demi ketukan, disusuli pengakuannya yang tidak lagi saya yakini sepenuh hati.

Nama-nama penulis yang terkorban dan juga politikus disebut selaku validasi. Saya tidak mahu menerima apa-apa informasi pada waktu ini. Saya mengetahui identiti kebenaran yang sebenar-benarnya, yakni pada malam saya dipukul itu.

Kebenaran juga bersumpah bahawa ia punya banyak wajah dan ia datang untuk menamatkan riwayat saya. Saya memikirkan betapa manusia mendambakan kebenaran tanpa mengetahui kenapa mereka mahu tahu mengenainya.

Saya buka pintu lalu mendepakan tangan. Apa-apapun, takdir harus dihadapi dengan penuh berani, bukan?

 

 

 


Pengarang :