Datuk Saifuddin Abdullah. Foto BERNAMA
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Kedutaan Malaysia di Beijing tubuh Pasukan Respons Kecemasan

KUALA LUMPUR, 27 JAN: Pejabat Kedutaan Besar Malaysia di Beijing menubuhkan Pasukan Respons Kecemasan (ERT) bagi memantau serta memberi laporan berterusan dan terkini berhubung perkembangan wabak 2019 novel koronavirus di China, kata menteri luar.

Datuk Saifuddin Abdullah berkata ERT juga berperanan untuk menghubungi rakyat Malaysia yang berdaftar dengan kedutaan atau Pejabat Konsul Jeneral di seluruh China bagi memastikan kesihatan dan kebajikan mereka sentiasa terjaga.

“Mereka (kakitangan kedutaan Malaysia) bekerja sepanjang masa tanpa mengenal penat lelah walaupun di sepanjang cuti Tahun Baru Cina demi rakyat Malaysia,” katanya menerusi kenyataan di Facebook.

Saifuddin berkata usaha seluruh pegawai dan kakitangan Kedutaan Malaysia di China untuk membantu rakyat Malaysia akan berterusan selagi jangkitan koronavirus masih belum dibendung sepenuhnya.

Kerajaan Malaysia merakamkan penghargaan kepada pihak Kedutaan dan Pejabat Konsulat Jeneral Malaysia di China atas segala usaha dan komitmen tinggi yang ditunjukkan dalam usaha menangani dan membantu rakyat Malaysia berhadapan koronavirus, katanya.

Saifuddin berkata beliau menghargai segala pengorbanan yang dilakukan semua pegawai dan kakitangan Pejabat Kedutaan Besar Malaysia di Beijing dan Pejabat Konsulat Jeneral Malaysia di Guangzhou, Hong Kong, Kunming, Nanning, Shanghai dan Xi’an.

Hari ini kerajaan Malaysia mengambil keputusan untuk menggantung sementara semua kemudahan imigresen kepada rakyat China dari bandar Wuhan dan wilayah Hubei di kelilingnya berkuat kuasa serta merta.

Menurut kenyataan akhbar Pejabat Perdana Menteri semua kemudahan imigresen itu meliputi eNTRY (kemudahan tanpa visa), Visa Semasa Ketibaan, e-visa dan visa manual.

Setakat ini, KKM mengesahkan empat warga China yang memasuki Malaysia melalui Johor dari Singapura positif koronavirus.

-BERNAMA


Pengarang :