AGENSISELANGOR

Kelip-kelip: Pastikan sungai terjaga, lapor kegiatan curiga

SHAH ALAM, 15 JAN: Orang ramai digesa prihatin terhadap aktiviti yang berpotensi menyumbang kepada pencemaran sungai dan melapor kegiatan mencurigakan, kata Lembaga Urus Air Selangor (LUAS).

Agensi itu memandang serius tindakan tidak bertanggungjawab pihak tertentu yang menyebabkan pencemaran di Sungai Selangor sehingga menjejas dan mengancam habitat kelip-kelip.

“Lembaga mengambil langkah proaktif memelihara habitat itu dengan pemantauan berjadual enam kali setahun di kawasan zon perlindungan Mukim Pasangan, Kuala Selangor yang diwartakan di bawah seksyen 48, Enakmen LUAS 1999.

“LUAS juga melakukan pensampelan kualiti air secara berkala selaras pelaksanaan Pelan Pengurusan Bersepadu Lembangan Sungai Selangor dan berkolaborasi dengan komuniti setempat untuk pantau dan pulihara sungai,” katanya dalam kenyataan hari ini.

LUAS turut kerjasama dengan Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia menanam pokok berembang, pokok sagu dan nipah memastikan populasi kelip-kelip tidak berkurangan.

Terdahulu, SelangorKini melaporkan isu pencemaran Sungai Selangor yang dijadikan ‘tong sampah’ dan pembuangan sisa toksik sehingga mengancam habitat kelip-kelip.


Pengarang :