Selangorkini
Rektor Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS) Prof Dato’ Dr Ab Halim Tamuri ketika ditemubual media pada 13 Januari 2020. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENSI SELANGOR

Kem ICT pupuk minat pelajari sains & teknologi

BANGI, 13 JAN: Program Kem ICT Selangor anjuran Kerajaan Negeri di Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS) berjaya memupuk minat pelajar dalam bidang sains dan teknologi, kata rektornya.

Prof Dato’ Dr Ab Halim Tamuri berkata program dijalankan sejak 2016 wajar dipuji berikutan peningkatan penyertaan saban tahun dan kali ini 300 pelajar sekolah rendah serta menengah menyertainya yang dijalankan setiap Sabtu juga Ahad itu.

“Bukan mudah menarik pelajar meminati sains dan teknologi tetapi wujudnya program ini memberi semangat kepada mereka menceburkan diri dalam bidang terbabit pada masa akan datang.

“Kita harap kerjasama bersama Kerajaan Negeri akan diteruskan dari semasa ke semasa,” katanya ketika kepada SelangorKini selepas Program Perasmian Kem ICT Selangor 2019 di sini hari ini.

Sementara itu, Ketua Fasilitatornya Amirul Husni Samsu Hazlam berkata memilih pelajar sekolah sebagai peserta dalam program berkenaan adalah satu landasan terbaik.

“Pelajar perlu didedahkan sejak dari bangku sekolah berkaitan kreativiti dan inovasi supaya apabila tamat pengajian mereka dapat membuat pilihan tepat untuk meneruskan pengajian ke peringkat lebih tinggi,” katanya.

Manakala, Penolong Ketua Fasilitator Ihsan Kamil Kamarudzaman berkata melalui kursus dipelajari pelajar boleh menjana pendapatan mereka.

“Jika kita lihat mereka yang membuat aplikasi dapat menjana pendapatan lumayan berbanding pekerjaan lain, justeru saya amat menggalakkan akan ada lebih ramai pelajar menceburi bidang ini,” kata pelajar Ijazah Sarjana Teknologi Rangkaian KUIS itu.


Pengarang :