AGENDAEKONOMI

Kemasukan pelaburan asing dijangka terus positif – Amiruddin

PETALING JAYA, 23 JAN: Momentum kemasukan pelaburan langsung asing (FDI) dijangka kekal positif walaupun Kadar Dasar Semalaman (OPR) diturunkan memandangkan keyakinan pelabur terhadap ekonomi negara kekal kukuh, kata Timbalan Menteri Kewangan Datuk Ir Amiruddin Hamzah.

Beliau berkata asas ekonomi negara yang kukuh dan berdaya saing serta tindakan berhemah kerajaan dalam memastikan persekitaran fiskal yang baik, turut menyumbang kepada keyakinan pelabur.

“Pelabur bukan sekadar melihat kepada kadar OPR, malah banyak faktor ekonomi lain yang turut diambil kira dalam membuat keputusan pelaburan.

“Kita perlu memastikan kemasukan pelaburan asing diberi perhatian utama dan permohonan mereka diuluskan segera seperti dalam ranking kedudukan negara paling Mudah Menjalankan Perniagaan, yang semakin meningkat,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Hari Kastam Sedunia ke-38 hari ini.

Beliau diminta mengulas mengenai keputusan Jawatankuasa Dasar Monetari Bank Negara Malaysia (BNM) semalam, menurunkan OPR kepada 2.75 peratus daripada 3.00 peratus, sebagai langkah awal untuk meningkatkan trajektori pertumbuhan dalam kedudukan harga yang stabil.

Menurut jawatankuasa itu, risiko penurunan terus kekal disebabkan oleh ketegangan geopolitik dan ketidaktentuan dasar di beberapa negara, walaupun pelonggaran monetari merentasi ekonomi utama pada separuh kedua 2019 membantu meringankan kedudukan kewangan dan dijangka terus menyokong aktiviti ekonomi.

Sementara itu, Amiruddin berkata sebanyak 160 syarikat penyedia perkhidmatan dalam talian dari luar negara sudah berdaftar dengan Jabatan Kastam Diraja Malaysia sejak proses pendaftaran dibuka 1 Oktober tahun lepas.

“Ini petanda yang baik kerana apabila mereka berdaftar, maknanya mereka ada niat untuk membayar cukai…masih ada lagi syarikat asing yang belum daftar tetapi yang besar sudah berdaftar,” katanya.

-BERNAMA


Pengarang :