Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad (kanan) pada sidang media mengenai wabak coronavirus di Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis Negara (CPRC), Putrajaya, pada 25 Januari 2020. Turut sama Pengarah Kawalan Penyakit Bahagian Kawalan Penyakit Kementerian Kesihatan, Dr Norhayati Rusli. – Foto BERNAMA
BERITA UTAMA

Kementerian Kesihatan aktifkan dua pasukan khas hadapi koronavirus

KUALA LUMPUR, 25 JAN: Kementerian Kesihatan mengaktifkan Pasukan Bertindak Cepat (RRT) dan Pasukan Penilaian Cepat (RAT) yang ditugaskan menjalankan aktiviti pengesanan di lapangan, kata menteri kesihatan.

Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata pasukan khas itu ditubuhkan selepas tiga kes positif jangkitan koronavirus disahkan di negara ini, lapor Berita Harian.

“Semua anggota kesihatan diarah memberi perhatian serius terhadap pemakaian peralatan perlindungan diri (PPE) yang betul serta mengamalkan langkah pencegahan dan kawalan jangkitan yang optimum sepanjang masa.

“Saringan pesakit semua premis kesihatan perlu dilaksanakan dengan teliti, bagi memastikan kes yang memenuhi akan dirujuk untuk penyiasatan selanjutnya,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Dr Dzulkefly berkata, selain tiga kes positif yang dikesan membabitkan tiga pelancong China itu, secara keseluruhannya Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis Negara (CPRC) turut menerima makluman sembilan kes disyaki jangkitan virus itu, tetapi ujian makmal mengesahkan semuanya negatif.

“KKM memandang serius wabak itu dan tatacara mengenainya yang membabitkan premis kesihatan awam dan swasta sudah dikeluarkan baru-baru ini,” katanya.

Langkah-langkah pencegahan untuk melindungi diri anda dan orang lain daripada virus NovelCoronavirus atau 2019-nCoV.
Sumber Grafik: KKM

Pengarang :