AGENDABERITA UTAMANASIONAL

PLUS: Jadual waktu perjalanan atasi trafik sesak

SHAH ALAM, 18 JAN: PLUS Malaysia Berhad (PLUS) meramalkan aliran trafik pada musim perayaan Tahun Baharu Cina meningkat kepada dua juta kenderaan setiap hari berbanding 1.7 juta pada hari-hari biasa.

Pengarah Urusan PLUS, Datuk Azman Ismail berkata bagi mengurang masalah tersebut, PLUS mengeluarkan jadual cadangan waktu perjalanan bagi membantu pengguna menempuh perjalanan selamat, lancar dan selesa.

Selain itu, PLUS akan menghentikan sementara kerja-kerja penyelenggaraan dan pembaikan lebuh raya dari 22 Januari hingga 2 Februari 2020.

“PLUS turut mempertingkatkan kolaborasi dengan polis, pasukan bomba dan penyelamat, ambulans, Jabatan Pertahanan Awam dan pasukan Sukarelawan Malaysia bagi memberi bantuan kecemasan sepanjang musim perayaan tersebut.

“PLUS akan menambah tandas awam dan tangki air bergerak di beberapa lokasi, termasuk menyediakan 70 kiosk tambah nilai layan diri bagi menampung jumlah trafik,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Azman berkata, orang ramai dari Lembah Klang yang menuju ke Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Utara Perak dan Johor dinasihatkan memasuki lebuh raya sebelum jam 9 pagi manakala bagi destinasi seperti Ipoh, Negeri Sembilan dan Melaka mereka disarankan memasuki lebuh raya selepas jam 12 tengah hari.

“Bagi perjalanan pulang semula ke Kuala Lumpur, PLUS menasihatkan orang ramai memasuki lebuh raya lebih awal sebelum jam 9 pagi bagi memastikan aliran trafik secara berperingkat bergerak dari semua lokasi ke Lembah Klang.

“Berdasarkan data trafik semasa perayaan Tahun Baharu Cina tahun lalu, orang ramai yang memilih untuk memulakan perjalanan di lebuh raya selepas jam 11 pagi mengalami pertambahan masa perjalanan sehingga 70 hingga 80 peratus,” katanya.

Sehubungan itu, semua pelanggan lebuh raya dinasihatkan untuk mematuhi jadual perjalanan yang disyorkan bagi mengurangkan potensi terkandas dalam kesesakan jalan.

Bagi mendapat maklumat trafik terkini orang ramai boleh menyemak aplikasi PLUS, Twitter PLUSTrafik, papantanda elektronik lebuh raya atau menghubungi talian PLUSLine di 1800 88 0000.


Pengarang :