AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Kerajaan digesa beri cuti kuarantin kepada pesakit Influenza A

KUALA LUMPUR, 11 JAN: Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Semenanjung Malaysia (NUTP) meminta kerajaan mempertimbangkan penyakit Influenza A dimasukkan dalam senarai enam jenis penyakit berjangkit yang diberi kemudahan cuti kuarantin.

Melihat situasi terkini penularan virus Influenza A dalam negara, Setiausaha Agung NUTP, Harry Tan Huat Hock dalam kenyataan semalam berkata, cuti kuarantin perlu diberikan kepada guru dan pelajar yang dijangkiti virus itu.

“Merujuk kepada Surat Pekeliling Perhidmatan Bilangan 11 Tahun 2016 mengenai kemudahan cuti kuarantin, enam penyakit berjangkit sedia ada ialah penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD), demam denggi dan demam denggi berdarah, campak, cacar air, difteria dan malaria,” katanya.

Pekeliling sama turut menyatakan kemudahan cuti kuarantin itu bagi pegawai yang dalam perjalanan balik ke Malaysia dari luar negara yang ditahan di mana-mana stesen kuarantin oleh pihak berkuasa kesihatan pelabuhan atau lapangan terbang kerana berlaku wabak penyakit berjangkit atau pegawai dikurung di rumahnya oleh mana-mana kuasa kesihatan kerana wabak penyakit berjangkit.

Influenza A merupakan jangkitan dengan gejala utama seperti demam selesema, sakit tekak, batuk dan gejala lain seperti sakit kepala, sakit otot, sakit sendi dan kelesuan.

Wabak yang disebabkan virus influenza bermusim itu hanya menyebabkan demam selesema ringan kepada orang biasa tetapi boleh mengakibatkan jangkitan yang teruk terhadap kumpulan berisiko tinggi seperti kanak-kanak, warga tua, wanita mengandung dan mereka yang mempunyai penyakit kronik.

– BERNAMA


Pengarang :