Undang Luak Jelebu Datuk Maarof Mat Rashad (tengah) bersama Anthony Loke (kiri) dan Pengerusi Bersatu Negeri Sembilan Tan Sri Rais Yatim memalu rebana ubi pada program Perasmian Dewan Orang Ramai Pekan Titi pada 20 Januari 2020. Foto BERNAMA
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Kerajaan galak pembayaran tanpa tunai di hentian rehat dan rawat

KUALA KELAWANG, 21 JAN: Kementerian Pengangkutan menggalakkan pelaksanaan kaedah pembayaran tanpa tunai dalam sistem pengangkutan awam dan di kawasan hentian rehat dan rawat (R&R) di seluruh negara.

Menterinya Anthony Loke Siew Fook berkata ia bertujuan memodenkan sistem pengangkutan awam, di samping memberi dorongan kepada masyarakat untuk lebih bersedia ke arah sistem ekonomi digital.

“Di peringkat kementerian kita memang alu-alukan penggunaan pembayaran tanpa tunai ini dan saya rasa penggunaan e-dompet ada potensi yang sangat besar, ia perlu diperluaskan ke pelbagai bidang termasuk di R&R dan sistem pengangkutan awam khususnya bas henti-henti.

“Kita mahu modenkan sistem pengangkutan awam, sekali gus melicinkan perjalanan bas, selama ini bas henti-henti memang kita tahu guna duit syiling atau wang kertas dan kadang-kadang tidak begitu efisien sehingga menyukarkan pengguna,” katanya kepada pemberita selepas majlis Perasmian Dewan Orang Ramai Titi di sini, semalam.

Turut hadir Undang Luak Jelebu Datuk Mendika Menteri Akhirulzaman Datuk Maarof Mat Rashad.

Loke yang juga ahli parlimen Seremban dan Ahli Dewan Undangan Negeri Chennah berkata beliau meminta pengusaha pengangkutan awam melaksanakan sistem tanpa tunai untuk kebaikan dan kemudahan orang ramai.

Dalam perkembangan sama, beliau memberi jaminan bahawa data peribadi mereka dilindungi.

“Saya rasa kerajaan sudah berikan pelbagai penjelasan dan jaminan bahawa tiada isu penyalahgunaan data peribadi dan pendaftaran e-dompet hanya mengambil maklumat asas sahaja sama seperti penggunaan aplikasi lain.

“Tambahan, kita ada Akta Perlindungan Data Peribadi 2010 dan mana-mana pihak yang mendapati terdapatnya penyalahgunaan data peribadi mereka, laporan polis boleh dibuat,” katanya.

-BERNAMA


Pengarang :