AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Kerajaan kaji selaras umur kahwin perempuan Islam kepada 18

PUTRAJAYA, 10 JAN: Kerajaan meneliti cadangan menaikkan umur minimum perkahwinan pengantin perempuan Islam daripada 16 kepada 18 tahun, kata peguam negara.

Tommy Thomas berkata pegawainya dalam proses rundingan antara Kerajaan Persekutuan dengan negeri-negeri bagi menyelaraskan undang-undang berkaitan dan menggubal pindaan ke atas Akta Undang-undang Keluarga Islam (Wilayah Persekutuan) 1984, lapor FMT.

“Ini adalah antara cadangan sedang diteliti Pejabat Peguam Negara bagi menjaga kebajikan dan kepentingan kanak-kanak terbabit,” katanya dalam ucapan ketika merasmikan edisi ke-11 tahun perundangan di sini hari ini.

Katanya, cadangan itu langkah permulaan kerajaan untuk menambah baik sistem undang-undang melibatkan pesalah kanak-kanak.

“Program ini juga bagi mengubah sistem undang-undang jenayah sedia ada membabitkan kanak-kanak bawah usia 18 tahun dengan memperkenalkan undang-undang pemulihan,” katanya.

Thomas berkata, mengikut undang-undang pemulihan, pesalah akan diberikan amaran keras sebelum dirujuk kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat.


Pengarang :