Dato’ Seri Amirudin Shari berucap ketika majlis Perasmian Penyerahan Projek Menaik Taraf Laluan (B49) Persiaran Mokhtar Dahari, Shah Alam pada 10 Januari 2020. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDA

Kerajaan Negeri bantu dua keluarga terjejas akibat cerun runtuh

SHAH ALAM, 10 JAN: Kerajaan Negeri sedia membantu penghuni dua unit kediaman berhampiran banglo yang terpaksa dirobohkan berikutan premis itu dihimpit pergerakan tanah cerun di lereng bukit di Jalan Kelab Ukay 2, Ampang pada 25 Disember lalu.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari berkata penghuni dua rumah itu sudah mengosongkan rumah masing-masing manakala pemilik banglo sedang melakukan kerja pembinaan semula kediamannya.

“Kerajaan Negeri cuba membiayai sebahagian sewa penghuni di dua rumah yang terjejas sementara menunggu kerja-kerja pemulihan rumah mereka dilakukan.

“(Perobohan dan pemulihan) mungkin mengambil masa tiga hingga enam bulan,” katanya pada Majlis Perasmian Penyerahan Projek Menaik Taraf Laluan B49 Persiaran Mokhtar Dahari di sini hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata banglo terbabit dirobohkan selepas diisytiharkan tidak selamat kerana mengalami banyak kerosakan struktur kritikal.

“Setakat ini hanya tiga rumah diisytihar tidak selamat selepas Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) mengesan berlaku pergerakan air bawah tanah agak besar,” katanya.

Sebelum ini, Ahli Dewan Negeri Bukit Antarabangsa merangkap Menteri Hal Ehwal Ekonomi Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata keputusan membabitkan pergerakan tanah di kawasan itu akan dibuat selepas laporan penuh siasatan oleh beberapa agensi dikeluarkan pada 8 Januari.

Beberapa kediaman berbukit di Ampang dikenal pasti berisiko dihempap tanah atau cerun runtuh akibat pergerakan air bawah tanah.

Antara tragedi terbesar di kawasan itu adalah runtuhan satu daripada tiga blok kondominium Highland Towers yang mengorbankan 48 mangsa pada 1993.


Pengarang :