Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
BERITA UTAMASELANGOR

Kerajaan Negeri tetap mahu ambil alih IWK

SHAH ALAM, 13 JAN: Kerajaan Negeri terus berunding dengan Kerajaan Persekutuan untuk mengambil alih operasi syarikat pembentungan Indah Water Konsortium (IWK) bagi memastikan pelepasan air menepati kualiti ditetapkan.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari berkata, ketiadaan jaminan berkenaan menyebabkan pihaknya terpaksa memikul tanggungjawab termasuk isu pencemaran bau.

“Kita akan teruskan sebab output (hasil keluaran) IWK memberi kesan langsung kepada kualiti air yang akan mengalir ke pintu muka sauk.

“Kalau sudah beberapa kali tidak ada jaminan, adalah lebih baik kita uruskan dan tentukan kualiti air sendiri. Masalahnya kualiti itu tidak ditentukan,” katanya.

Amirudin berkata demikian selepas Majlis Perhimpunan Bulanan Penjawat Awam Negeri Selangor di Dewan Jubli Perak, hari ini.

Sebelum ini, Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) berhasrat untuk mengambil alih operasi IWK bagi mengawal kualiti air supaya tidak memberikan kesan di loji rawatan.

Langkah itu bagi memastikan masalah gangguan bekalan air di Lembah Klang tidak berulang terutama membabitkan pencemaran bau.


Pengarang :