SELANGOR

Kerajaan Persekutuan fokus selesai persempadanan di Lembah Klang

PUTRAJAYA, 28 JAN: Kementerian Wilayah Persekutuan memberi fokus utama kepada penyelesaian isu permasalahan persempadanan di Lembah Klang yang akan dilaksanakan tahun ini.

Menterinya, Khalid Abdul Samad berkata terdapat 18 isu berkaitan persempadanan melibatkan Kuala Lumpur dan Selangor yang tidak dimuktamadkan sejak sekian lama dan perkara itu kini dalam perhatian Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Wilayah Persekutuan dan PTG Selangor.

“Cadangan ini diserahkan PTG Selangor untuk diselesaikan dan kita menelitinya. Semua pihak memberi pandangan dan respons, kita harap isu persempadanan dimuktamadkan secara rasmi,” katanya dalam temu bual bersama media sempena Sambutan Hari Wilayah Persekutuan 2020 di sini hari ini.

Khalid berkata isu berkenaan perlu diselesaikan segera bagi mengelak kekeliruan antara pihak berkuasa tempatan sekali gus memastikan masyarakat mendapat perkhidmatan terbaik dan tiada kawasan diabaikan.

“(Contohnya timbul persoalan apabila) pihak berkuasa mana yang nak bertindak jika parit tersumbat? … jadi berbalah, ini KL atau Selangor (yang bertanggungjawab untuk ambil tindakan) begitu juga dengan penyelenggaraan jalan raya,” katanya.

-BERNAMA


Pengarang :