Tun Dr Mahathir Mohamad ketika sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai Anti Rasuah (JKKMAR) di Perdana Putra pada 7 Januari 2020. Turut hadir Ketua Pengarah Pusat Governans, Integriti dan Anti Rasuah Nasional (GIACC), Tan Sri Abu Kassim Mohamed (kiri). Foto BERNAMA
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Kerajaan tubuh jawatankuasa aduan pantau agensi penguatkuasaan

PUTRAJAYA, 7 JAN: Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai Anti-Rasuah (JKKMAR) bersetuju dengan cadangan Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (SIAP) bagi mengkaji keperluan menubuhkan satu Jawatankuasa Aduan (JKA), kata Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Beliau berkata JKA itu adalah bagi memantau pengendalian aduan kes-kes salah laku bagi 20 agensi penguatkuasaan lain selain Polis Diraja Malaysia (PDRM).

“Ini bagi memastikan pemantauan ke atas 20 agensi penguatkuasaan berkenaan dapat terus dilakukan seiring dengan pemantauan PDRM,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat JKKMAR, di sini hari ini.

Ditanya secepat mana JKA itu akan ditubuhkan, Dr Mahathir berkata : “Secepat mungkin”.

Dr Mahathir berkata JKKMAR juga bersetuju dengan cadangan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) supaya urusan penamatan jawatan ketua pesuruhjaya dibuat melalui proses perlembagaan dengan membuat pindaan undang-undang berkaitan.

JKMMAR juga memutuskan supaya satu kajian dibuat bagi mengkaji prosedur perlantikan ketua pesuruhjaya SPRM turut dibuat melalui perlembagaan, katanya.

“Ini bagi mengelakkan campurtangan kerajaan dalam urusan perlantikan serta menjamin ketelusan dan kebebasan ketua pesuruhjaya dari pengaruh mana-mana pihak,” katanya.

Dr Mahathir berkata tindakan pemecatan terhadap individu yang memegang jawatan ketua pesuruhjaya SPRM juga perlu dibuat melalui proses perlembagaan.

Dr Mahathir berkata kerajaan serius untuk mengambil tindakan ke atas cadangan yang dikemukakan oleh Jawatankuasa Pembaharuan Institusi (IRC).

“JKKMAR hari ini dimaklumkan bahawa daripada 256 cadangan IRC, 190 adalah di bawah skop kerja tadbir urus, integriti dan pencegahan rasuah di mana 55 perkara membabitkan pindaan Perlembagaan Persekutuan.

“Sebagai contoh, mereformasi sistem perundangan dan pilihan raya. Pemakluman berkaitan perkara ini akan dibuat kepada IRC,” katanya.

Dr Mahathir berkata JKKMAR juga bersetuju dengan syor penambahbaikan yang dibentangkan oleh Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) untuk memantap dan menambah baik tadbir urus bagi menangani isu pengeluaran dokumen pengenalan diri secara tidak teratur.

Antaranya penarafan semula JPN sebagai agensi berisiko tinggi serta memperkasakan unit integriti di jabatan itu; memperkasakan bahagian siasatan dan penguatkuasaan JPN dengan meningkatkan peralatan operasi perisikan, infrastruktur, sistem perjawatan dan kemahiran.

Turut dipersetujui ialah elemen biometrik dimasukkan ke dalam semua dokumen pengenalan diri yang dikeluarkan oleh JPN.

Beliau berkata syor-syor itu adalah ekoran peningkatan kemasukan warga asing yang akan meningkatkan lagi risiko pengeluaran dokumen palsu dan yang paling dibimbangi ialah penyelewengan oleh pegawai JPN untuk mengeluarkan dokumen pengenalan diri yang tulen kepada penyamar atau individu yang tidak layak.

Dr Mahathir berkata turut dibentangkan dalam mesyuarat adalah pencapaian yang telah dilaksanakan melalui Pelan Antirasuah Nasional (NACP) 2019-2023.

“Setakat 31 Disember 2019, daripada 115 inisiatif di dalam pelan tersebut, 22 inisiatif telah selesai dilaksanakan. Antaranya pengisytiharan harta oleh anggota pentadbiran, manakala sebanyak 93 inisiatif pula masih dalam tindakan,” katanya.

Dr Mahathir berkata JKKMAR juga bersetuju untuk memberikan lanjutan tempoh masa setahun kepada agensi peneraju berkaitan untuk melaksanakan inisiatif yang masih belum selesai.

Mengenai pemilihan ahli Jawatankuasa Aduan itu, Dr Mahathir berkata Parlimen akan diberi peluang untuk memberikan cadangan calon yang layak sebelum Perdana Menteri membuat keputusan dan mempersembahkan kepada Yang Di-Pertuan Agong.

Dr Mahathir berkata Lembaga Jurutera Malaysia telah membentangkan kepada JKKMAR supaya diberi kelulusan untuk mengambil peranan Kementerian Kewangan dalam mengawal selia prestasi perunding projek.

Beliau berkata ia bagi membolehkan pemilihan perunding kejuruteraan dibuat secara terus berasaskan merit untuk mengurangkan risiko rasuah.

Mesyuarat JKKMAR juga mengambil maklum penambahbaikan yang akan dilaksanakan Kementerian Pendidikan untuk memastikan inisiatif NACP 2019-2023 berkaitan pembangunan tadbir urus manusia dilakukan di peringkat pra sekolah sehingga ke peringkat tertinggi bagi melahirkan generasi yang berintegriti tinggi dan menolak rasuah, katanya.

– BERNAMA


Pengarang :