Selangorkini
Menteri Komunikasi dan Multimedia Gobind Singh Deo menjawab pertanyaan media selepas menghadiri Persidangan Antarabangsa 5G Malaysia di Langkawi pada 20 Januari 2020. Foto BERNAMA
AGENDA NASIONAL

Kerjasama agensi kerajaan, pemain industri jaya pelaksanaan 5G

ccsb-ads

LANGKAWI, 20 JAN: Kerjasama antara pelbagai pihak yang berkepentingan termasuk pihak berkuasa tempatan, kerajaan negeri, agensi dan kementerian yang berkaitan adalah kritikal dalam menjamin kejayaan pelaksanaan 5G, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia Gobind Singh Deo.

Menurut beliau, mendedahkan rakyat Malaysia dengan peluang bagi meraih manfaat kesambungan dan pelbagai teknologi digital sedia ada merupakan tanggungjawab secara kolektif.

“Bagi memudahkan pelaksanaan yang lebih cepat dan menjimatkan kos, adalah penting untuk kami mewujudkan garis panduan dan piawaian yang jelas.

“Saya mahu industri dan agensi kerajaan berkaitan untuk bekerjasama dengan SKMM bagi memastikan pelancaran teknologi 5G ini, ditakrifkan dengan jelas sebagai sebahagian daripada pelan pelaksanaan,” katanya ketika berucap pada Persidangan Antarabangsa 5G Malaysia 2020 di sini hari ini.

Gobind menjelaskan lagi, ini sebaliknya akan menyediakan kaedah yang lebih kemas untuk pengenalan perkhidmatan serta produk 5G yang baharu.

Sebagai contoh, garis panduan dan piawaian yang jelas mengenai apa yang membentuk ‘Bandar Pintar’ akan menjamin bahawa penyelesaian boleh diulang dan dilancarkan merentasi beberapa kawasan perbandaran.

Kekurangan piawaian dan garis panduan yang serupa akan menyebabkan pertindihan, peningkatan kos serta ketidakmampuan untuk memanfaatkan penyelesaian yang inovatif di seluruh perbandaran.

Beliau juga menggalakkan pemain industri bagi mengenal pasti cara terbaharu serta inovatif yang akan membolehkan mereka membina dan berkongsi infrastruktur.

Pendekatan ini bertujuan untuk menjimatkan perbelanjaan modal dengan mengurangkan kos serta menghalang penindihan infrastruktur.

Katanya, pembinaan infrastruktur 5G boleh menelan belanja antara RM7 bilion dan RM8 bilion dalam jangka masa sederhana, di samping pelaburan dalam 4G dan LTE.

“‘Pelancaran infrastruktur dan perkhidmatan bukan sesuatu usaha yang sia-sia, sebaliknya, merupakan sebahagian daripada Wawasan Perkongsian Kemakmuran Malaysia.

“Visi ini akan menyaksikan proses penstrukturan semula ekonomi Malaysia untuk berada di atas landasan yang lebih progresif dengan berpusatkan kepada pembangunan untuk semua,” katanya sambil menambah bahawa semua ini akan sukar dicapai tanpa bantuan platform digital, yang mana perkhidmatan boleh disediakan kepada semua lapisan masyarakat.

– BERNAMA


Pengarang :