Remaja Ireland-Perancis, Nora Anne Quoirin.
AGENDANASIONAL

Kes Nora Anne: Keluarga tuntut RM152,000

SEREMBAN, 21 JAN: Peguam yang mewakili keluarga remaja Ireland Nora Anne Quoirin, 15, Sankara Nair hari ini hadir di Mahkamah Seremban bagi pengurusan kes saman sivil terhadap Operator Resort The Dusun.

Tuntutan yang dikemukakan RM152,000 atas dakwaan operator gagal memastikan keselamatan premis, kekurangan rakaman kamera litar tertutup serta selak tingkap rosak yang membolehkan ia dibuka dari luar.

“Pada 24 Disember lepas, kita failkan tuntutan saman dan hari ini kita dokumen untuk pengurusan kes sebelum mahkamah tetapkan 12 Februari ini,” katanya.

Dalam pada itu, Sankara turut memberitahu pihaknya telah membuat permohonan inkues kepada Peguam Negara Tan Sri Tommy Thomas, pada Disember tahun lepas.

“Bagaimanapun, kita belum mendapat sebarang berita mengenainya, mereka belum menjawab… beliau (peguam negara) mungkin tunggu laporan penuh bedah siasat termasuk laporan toksikologi

“Kita berharap beliau mengarahkan agar inkues terhadap kematian Nora Anne dilakukan,” katanya.

Mengulas lanjut, Sankara berkata inkues itu dimohon untuk keluarga mengetahui apa sebenarnya yang berlaku sebelum mayat Nora Anne ditemui sama ada dia diculik atau keluar sendiri.

Nora Anne bersama keluarganya tiba di Malaysia untuk percutian dua minggu dan mendaftar masuk di resort The Dusun Pantai Hill, Pantai dekat sini pada 3 Ogos, sehari sebelum remaja itu dilaporkan hilang pada awal pagi keesokannya.

Mayat remaja itu ditemui pada 13 Ogos lepas, iaitu 10 hari selepas kehilangannya oleh pasukan sukarelawan. Semasa ditemui di kawasan berlurah, sekitar 2.5 kilometer dari eko-resort itu mangsa tidak berpakaian.

Laporan awal bedah siasat mendapati kematian Nora Anne, yang mengalami masalah pembelajaran, tidak mempunyai unsur jenayah dan remaja perempuan itu disahkan mati akibat kebocoran usus yang berpunca kerana tidak makan untuk tempoh lama dan tekanan yang berpanjangan.

– BERNAMA


Pengarang :