Petugas memberi penerangan kepada pemilik kilang pada sesi taklimat Program Pematuhan Syarat dan Penguatkuasaan Kilang Tanpa Kebenaran Majlis Perbandaran Subang Jaya di USJ 7, Subang Jaya pada 20 Januari 2020. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI
EXCO SELANGOR

Kilang haram ditawar diskaun 30 peratus bayar premium

SUBANG JAYA, 20 JAN: Pengusaha kilang haram di negeri ini digesa merebut tawaran potongan bayaran premium sehingga 30 peratus untuk beroperasi secara sah, kata Ng Sze Han.

EXCO Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam Dan Pembangunan Kampung Baru itu berkata tawaran menerusi program pemutihan kilang itu sah sehingga 30 September ini.

“Potongan sehingga 30 peratus bayaran premium perlu dijelaskan dalam tempoh dua bulan, 20 peratus empat bulan dan 10 peratus dalam tempoh enam bulan.

“Selain itu, lesen perniagaan sementara selama setahun kepada kilang terbabit juga akan diberikan pihak berkuasa tempatan (PBT),” katanya pada Taklimat Program Pematuhan Syarat dan Penguatkuasaan Kilang Tanpa Kebenaran di Dewan Serbanguna USJ 7 di sini hari ini.

Sze Han berkata terdapat lebih 2,000 kilang haram beroperasi di negeri ini termasuk 322 buah di daerah ini.

“Program pemutihan kilang haram kurang mendapat sambutan jadi kita menggesa pemilik supaya mendaftarkan kilang mereka dan menukar syarat guna tanah supaya ia boleh beroperasi secara sah,” katanya.

Katanya, Kerajaan Negeri menerusi PBT akan merampas tanah pemilik kilang haram selepas tamat tempoh program pemutihan.


Pengarang :