AGENDABERITA UTAMANASIONAL

KKM: Garis panduan kawasan merokok dibentang Mac

SHAH ALAM, 11 JAN: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan membentangkan cadangan garis panduan pelaksanaan kawasan merokok pada Mac ini.

Menterinya Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata perkara itu akan dibincangkan dalam mesyuarat Majlis Negara Kerajaan Tempatan (MNKT).

“Garis panduan masih dalam perbincangan. Dalam bulan Mac kami bentangkan garis panduan di MNKT dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail,” katanya lapor Malaysiakini.

Sementara itu, katanya KKM turut membenarkan pelaksanaan kawasan merokok di tempat awam termasuk kawasan komersial dan medan selera selagi tidak melanggar peraturan ditetapkan.

“Kami lihat kelebihan membuat (kawasan merokok) kerana ada orang masih nak merokok. Mereka nak hak mereka. Saya izinkan tetapi tolong buat dengan jarak tiga meter. Itu adalah peraturan,” katanya.

Pada 7 Januari lalu, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan mengumumkan peruntukan RM1 juta bagi pelaksanaan kawasan merokok di tempat awam termasuk kawasan komersial dan medan selera milik 155 pihak berkuasa tempatan di seluruh negara.


Pengarang :