AGENDANASIONAL

KKM kenal pasti 26 hospital kendali kes disyaki koronavirus

KUALA LUMPUR, 27 JAN: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengenal pasti 26 hospital di seluruh negara sebagai langkah kesiapsiagaan bagi mengendalikan kes disyaki jangkitan koronavirus 2019 (2019-nCoV) yang memerlukan pemeriksaan dan rawatan lanjut.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata Hospital Sultanah Aminah, Johor Bahru (HSA JB) sebagai contoh merupakan hospital rujukan bagi kes yang disyaki dan disahkan positif koronavirus bagi negeri itu.

“Bagi memastikan penggunaan fasiliti KKM sedia ada yang optimum, kes yang disyaki atau disahkan positif 2019-nCoV dan berada dalam keadaan stabil akan dirawat dan dipantau oleh Pasukan Perubatan Penyakit Berjangkit HSA JB di wad isolasi Hospital Permai, Johor Bahru.

“Hospital Permai mempunyai kemudahan fasiliti yang amat baik serta dikawal rapi oleh polis bantuan bagi memastikan tiada pencerobohan oleh mana-mana pihak yang tidak berkenaan.

“Namun sekiranya terdapat kes yang kritikal dan memerlukan rawatan dan pemantauan rapi, satu wad isolasi khas dikenal pasti untuk digunakan di HSA JB,” katanya dalam kenyataan di laman Facebook Ketua Pengarah Kesihatan.

Sementara itu, Dr Noor Hisham berkata tatacara pengendalian kes disyaki yang melibatkan fasiliti kesihatan awam dan swasta dikeluarkan sebagai rujukan kepada semua anggota kesihatan di lapangan bagi mengesan, mengendali dan menguruskan individu yang disyaki dijangkiti koronavirus.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada kesemua petugas kesihatan terutamanya di lapangan yang sedang bertungkus-lumus memastikan kejadian kluster jangkitan koronavirus dapat dikawal.

“Terima kasih juga kepada semua pihak termasuk pihak swasta yang telah memberikan kerjasama yang baik demi memastikan keselamatan dan kesihatan awam rakyat terpelihara,” katanya.

Dr Noor Hisham berkata KKM akan terus mempertingkatkan langkah pencegahan dan kawalan jangkitan penyakit koronavirus.

Katanya, kes yang disyaki akan diperiksa dan dirujuk ke hospital KKM yang dikenal pasti untuk pengambilan sampel serta pemantauan perkembangan gejala kes.

“Kes ini dipantau sehingga tamat tempoh inkubasi virus ini iaitu sekurang-kurangnya 14 hari dari tarikh pendedahan atau berlepas dari China. Ini selari dengan Seksyen 14 Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342),” katanya.

-BERNAMA

Senarai 26 hospital seluruh negara bagi mengendalikan kes-kes yang disyaki (Patient-under-investigation) dan sahih (confirmed) 2019-nCoV.
Sumber KKM

Pengarang :