AGENDANASIONAL

KKM mahu perluas perubatan tradisional, komplimentari

PETALING JAYA, 9 JAN: Kementerian Kesihatan (KKM) berhasrat untuk perluaskan amalan perubatan tradisional dan komplimentari (PT&K) di hospital seluruh negara khususnya di sektor awam, kata Timbalan Menterinya Dr Lee Boon Chye.

Beliau berkata kajian terbaru yang dijalankan KKM mendapati kira-kira 30 peratus rakyat Malaysia sebenarnya mendapatkan rawatan tradisional sekali gus menjadikan terdapat permintaan bagi perkhidmatan itu dalam kalangan orang ramai.

“Setakat ini, kira-kira 15 buah hospital di bawah kementerian menyediakan rawatan PT&K seperti di Institut Kanser Negara dan hospital di Putrajaya dan Cheras.

“Kita melihat wujudnya keperluan itu (PT&K) kerana dalam kaji selidik kami, ramai rakyat Malaysia masih mendapatkan rawatan tradisional. PT&K masih menjadi pilihan ramai orang di sini,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Pusat PT&K Sunway di sini hari ini.

Sementara itu Dr Lee berkata mana-mana individu yang berhasrat untuk mengamalkan bidang PT&K perlu berdaftar dengan kementerian sebaik sahaja Akta PT&K 2016 dikuatkuasakan sepenuhnya dalam dua atau tiga tahun lagi untuk memastikan keselamatan dan kualiti perkhidmatan penjagaan kesihatan itu.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata kementerian juga merancang untuk mengawal selia kadar bayaran dikenakan pengamal perubatan bagi memastikan harga yang adil dan kompetitif untuk semua rakyat Malaysia.

Beliau berkata terdapat tujuh bidang amalan perubatan yang diiktiraf di bawah Akta PT&K 2016 iaitu Perubatan Tradisional Melayu, Perubatan Tradisional Cina, Perubatan Tradisional India, Amalan Perubatan Islam, Homeopati, Kiropraktik dan Osteopati.

Mengulas kes influenza ketika ini, Dr Lee berkata beliau yakin sesiapa yang didiagnosis akan kembali pulih.

“Kami (KKM) sentiasa memantau wabak ini (influenza),” katanya sambil menambah influenza adalah endemik di negara ini kerana ia berlaku sepanjang tahun terutama pada akhir tahun apabila berlakunya peningkatan pelancong.

Sehingga hari ini dilaporkan sebanyak 53 pelajar daripada 24 buah sekolah rendah dan menengah di Pulau Pinang dijangkiti influenza berbanding 19 kes semalam.

– BERNAMA


Pengarang :