AGENDANASIONAL

KKM tidak wajibkan penyedut minuman serai di hospital

IPOH, 17 JAN: Kementerian Kesihatan (KKM) tidak mewajibkan penggunaan serai sebagai penyedut minuman di kafe dan kantin hospital, kata Timbalan Menteri Kesihatan Dr Lee Boon Chye.

Bagaimanapun, beliau berkata pihaknya menyerahkan perkara itu kepada operator kantin serta kafe sekiranya mendapati ia praktikal dan ekonomi.

“Sekarang ada banyak pilihan penyedut minuman, ada yang diperbuat daripada jagung dan kertas, jadi ada banyak pilihan. Kementerian tidak buat mikropengurusan (wajib gunakan serai) macam ini, itu terpulang kepada operator kantin dan kafe.

“Bagaimanapun ini cadangan yang baik sekiranya tidak membebankan kos operator kantin dan kafe serta praktikal, ia amat digalakkan,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan di Klinik Kesihatan Bijih Timah di Jalan Sultan Yusof di sini hari ini.

Pada 15 Januari lalu, media melaporkan Pengerusi Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA), Senator Datuk Husam Musa mengumumkan serai akan digunakan sebagai penyedut minuman yang akan diperluaskan ke kafe hospital termasuk kepada pesakit bagi menggantikan straw plastik.

Husam berkata penggunaan serai sebagai penyedut minuman sesuatu yang baharu dan sebagai permulaan, beliau mewajibkan penggunaannya di semua kafe KADA.

-BERNAMA


Pengarang :