PENDAPAT

Kompleks PKNS Shah Alam kini berwajah baharu

Pernah melakar sejarah sebagai bangunan terpanjang di Asia Tenggara pada sekitar 1980-an, Kompleks PKNS Shah Alam terus mendapat tempat di hati pengunjung untuk mendapatkan pelbagai kelengkapan terutama menjelang lebaran atau persediaan perkahwinan.

Menawarkan suasana membeli-belah yang menyeronokkan dan murah, kompleks berkeluasan kira-kira 46,451 meter per segi masih kekal menjadi bangunan ikonik di bandar raya ini.

Justeru, pelbagai penambahbaikan termasuk aspek reka bentuk giat dilaksanakan dengan mengekalkan nilai sentimentalnya.

Tanpa disedari, banyak usaha naik taraf dilakukan ke atas kompleks berkenaan sejak PKNS Real Estate Sdn Bhd (PREC) mengambil alihnya sekitar tujuh tahun lalu termasuk memastikan kompleks tidak ketinggalan dari aspek teknologi.

Pihaknya turut mengadakan hubungan rapat bersama Persatuan Peniaga KPSA

Selain membaik pulih kerosakan luar, kompleks itu juga mengetengahkan elemen unik di sudut bangunan dengan menonjolkan logo PKNS. Grid struktur bangunan ditonjolkan bagi menggamit orang ramai berkunjung ke kompleks berkenaan, selain pilihan reka bentuk dan warna menjadikan suasana persekitaran yang ceria.

“Penambahbaikan ini antara perkara utama yang dimulakan perancangannya sejak 2015 dan kita cuba usahakan atas faktor keperluan teknikal serta autoriti yang perlu dipenuhi terlebih dahulu,” pemangku pengurus Pusat Kompleks PKNS Shah Alam Syahril Mohd Rashid

“Ini kerana kita sentiasa menyokong matlamat menjadikan Shah Alam sebagai sebuah Kota Seni dengan menyuntik elemen kesenian dalam setiap transformasi dilakukan,” katanya.

Musolla Al-Kauthar jamin keselesaan

Mengimbau lima tahun lalu, surau di kompleks itu serba kekurangan hingga mengundang rungutan dalam kalangan jemaah untuk mengerjakan ibadah.

Justeru itu, surau yang sering menjadi tumpuan setiap kali sambutan Ramadan kemudian diberi nafas baharu menerusi penjenamaan Musolla Al-Kauthar yang dilengkapi pelbagai kemudahan

“Ruang solat yang selesa dan cantik ini boleh memuatkan sehingga 100 jemaah dalam satu-satu masa dengan konsep industri.

“Kita juga menyediakan kemudahan seperti ruang menunggu, tempat berwuduk yang mesra orang kelainan upaya (OKU) dan warga emas termasuk tandas serta kemudahan menyiapkan bayi berhampiran surau ini,” kata Syahril.

PREC turut bekerjasama dengan pihak jawatankuasa surau Kompleks PKNS Shah Alam melalui pelaksanaan pelbagai aktiviti berunsur kerohanian.

“Antara aktiviti disediakan ialah tazkirah, kenduri doa selamat, tahlil dan aktiviti fardhu ain yang lain termasuk solat tarawih ketika Ramadan,” katanya.

Makan@Bumbung pikat selera pengunjung

Medan selera di tingkat empat yang daif sebelum ini tidak ketinggalan mengalami penambahbaikan, malah kawasan yang menempatkan 10 gerai makanan diberi nama baharu iaitu Makan@Bumbung.
Sejak awal Oktober lalu, Makan@Bumbung memulakan operasi perniagaan antara jam 10 pagi hingga 12.30 tengah malam. Aneka juadah makanan Melayu dan popular di Selangor dijual pada harga berpatutan.

“Pengunjung berpeluang menikmati menu seperti tom yam Abe Power, lempeng, ayam kunyit Tok Deng, kari ayam Mama, nasi campur, bihun soto, laksa, mee rebus dan mee sizling.

“Malah, pengunjung juga boleh merakam foto di Makan@Bumbung kerana pemandangannya terletak berhadapan Tasik Shah Alam dan bangunan menarik lain,” kata Syahrir.

Malah, saiz lot peniaga yang sempit sebelum ini diperluas sekali ganda demi keselesaan peniaga. Saiz untuk satu lot kini menyamai keluasan dua lot.

Selain itu, PREC merancang untuk membangunkan gelanggang futsal bersebelahan Makan@Bumbung sebagai daya tarikan anak muda untuk melakukan aktiviti riadah.

“Melalui pembinaan gelanggang futsal, peniaga medan selera diminta untuk melanjutkan waktu operasi perniagaan dan ia pasti memberi pulangan kepada mereka.

“Bagaimanapun, perkara ini masih dalam tindakan dan menunggu proses dokumentasi untuk dimeterai selain proses urusan bersama operator berkaitan,” katanya.

Tambah baik infrastruktur 

Untuk tahun ini, PREC mahu memberi tumpuan terhadap tiga perkara utama termasuk membaik pulih lif dan eskalator, pendingin udara serta jaringan bekalan elektrik bagi membolehkan operasi harian di kompleks itu berjalan lancar.

Pada 2017, sebanyak RM1.3 juta dibelanjakan bagi menjayakan projek pemasangan pendingin udara di ruang legar kompleks bagi memberi keselesaan kepada pengunjung.

“Justeru, kita bertekad untuk meneruskan perancangan ini pada tahun hadapan supaya penyewa boleh berniaga tanpa sebarang masalah,” kata Syahril.


Pengarang :