Kabilen Mathan Raj. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Konsert pelajar UKM sasar RM50,000 bantu pesakit kanak-kanak

KUALA LUMPUR, 19 JAN: Pelajar Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) akan menganjurkan konsert amal ‘Malam Irama Penyayang’ (MIP) dalam usaha membantu dua pesakit kanak-kanak yang perlu menjalani prosedur jantung.

Konsert amal itu menyasarkan mengumpul dana RM50,000 untuk disumbangkan kepada Kabilen Mathan Raj, 3, (RM15,000) dan Paveen Raj Sathiam, 12, (RM35,000).

Pengerusi penganjur program Yuvaraj Chantra Mohan berkata Kabilen perlu menjalani prosedur kateterisasi jantung kerana mengalami masalah pernafasan ketika makan, yang pada jangka panjang, boleh mengganggu tumbesarannya akibat kegagalan jantung atau kekurangan oksigen.

“Sementara itu, denyutan jantung Paveen lemah dan perentak jantungnya perlu ditukar. Kedua-dua pesakit sedang dirawat di Institut Jantung Negara,” katanya di sini hari ini.

Yuvaraj memaklumkan setiap kali cuti semester, pelajar daripada Sekretariat Kebudayaan Mahasiswa India UKM di Bandar Baru Bangi akan mengumpulkan dana untuk membayar kos perubatan pesakit yang memerlukan dengan menganjurkan MIP.

Sejak penubuhannya pada 2009, MIP telah mengumpul dana berjumlah RM415,000 untuk rawatan 19 pesakit kanak-kanak.

Tahun lepas, ia berjaya mengumpul RM50,000 untuk membantu bayi berumur sebulan, S. Jivasri yang perlu menjalani prosedur kateterisasi jantung dan bayi berumur dua bulan, P. Sakthivel Naidu yang perlu menjalani surgeri meluaskan saluran arterinya.

MIP ke-12 itu akan berlangsung di Dewan Canselor Tun Abdul Razak (Dectar), UKM pada 21 Mac

Orang ramai yang berhasrat menderma boleh menghubungi Yuvaraj di talian 010-257 2489 atau menyalurkan sumbangan menerusi akaun bank CIMB 7065036248 atas nama Bendahari UKM atau Cynthia Patinadan.

– BERNAMA


Pengarang :