AGENDANASIONAL

Koronavirus: 38 kes pesakit bawah siasatan dilaporkan di Malaysia

SHAH ALAM, 27 JAN: Sebanyak 38 kumulatif kes pesakit di bawah siasatan (PUI) jangkitan koronavirus 2019 (2019-nCoV) dilaporkan hingga malam semalam, kata menteri kesihatan.

Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata kes membabitkan 18 warganegara Malaysia, 18 dari China dan satu dari Jordan hanya merekodkan satu kes positif setakat ini.

“Sebanyak 32 kes PUI adalah negatif membabitkan 18 warganegara Malaysia, 13 warganegara China dan satu warganegara Jordan manakala lima lagi kes PUI yang kesemuanya warganegera China, masih menunggu keputusan makmal yang akan diketahui dalam masa terdekat.

“Sehingga kini, sebanyak 19 kes PUI masih dirawat di wad isolasi dan berada dalam keadaan stabil,” katanya pada sidang media di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2, Sepang hari ini.

Sementara itu, Dr Dzulkefly berkata tiga daripada lapan orang kontak rapat dengan kes positif 2019-nCoV pertama di Singapura masih dirawat di wad isolasi dan dilaporkan stabil.

Beliau berkata sebanyak 17 kontak rapat kes positif 2019-nCoV dikenal pasti dan diletakkan di bawah Perintah Pemantauan dan Pengasingan di tempat yang disediakan sementara menunggu keputusan ujian dijalankan ke atas mereka.


Pengarang :