BERITA UTAMANASIONAL

Koronavirus: Agong titah semua masjid solat hajat

KUALA LUMPUR, 28 JAN: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri´ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menitahkan kesemua masjid mengadakan solat hajat dan doa selamat bagi memelihara rakyat daripada sebarang penyakit.

Menurut Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin, ia berikutan peningkatan penularan wabak 2019 Novel Koronavirus (2019-nCoV) di China dan negara lain termasuk Malaysia.

Beliau berkata Seri Paduka sentiasa mengikuti perkembangan terkini wabak itu serta prihatin dan bimbang keselamatan diri rakyat Malaysia yang berada di dalam serta luar negara susulan jangkitan 2019-nCoV.

“Seri Paduka menyeru rakyat memperbanyakan doa agar Malaysia dan dunia dilindungi daripada wabak berkenaan serta memudahkan pihak berkuasa tempatan dan di kawasan terjejas menangani gejala wabak ini.

“Semoga situasi kehidupan insan dapat dipulihkan seperti sediakala,” katanya dalam satu kenyataan dikeluarkan Istana Negara di sini, hari ini.

Al-Sultan Abdullah turut mengulangi nasihatnya kepada rakyat supaya mendapatkan perkembangan dan maklumat terkini mengenai wabak 2019-nCoV hanya daripada saluran rasmi Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan agensi kerajaan serta media arus perdana.

Seri Paduka juga sekali lagi menyeru kepada rakyat untuk sentiasa mengikuti nasihat dan saranan langkah pencegahan dan amalan kesihatan seperti digariskan KKM.

-BERNAMA


Pengarang :