Dua wanita memakai topeng pelindung muka berjalan di sebuah kedai menjelang sambutan Tahun Baharu Cina di Bangkok pada 24 Januari 2020. FOTO AFP
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Koronavirus cetus kebimbangan, 26 mati di China

SHAH ALAM, 24 JAN: Wabak koronavirus terus mencetuskan kebimbangan dunia apabila angka kematian meningkat kepada 26 orang dengan bilangan kes melonjak kepada 830, kebanyakannya di China.

Suruhanjaya Kesihatan Kebangsaan negara itu memaklumkan 24 daripada jumlah kematian direkodkan di Hubei, wilayah tengah China, lapor The Guardian.

Koronavirus baharu yang digelar 2019-nCoV oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mencetuskan kebimbangan kerana mempunyai persamaan dengan wabak sindrom pernafasan akut teruk (SARS) pada 2002-2003.

Pengawal keselamatan meronda di luar pasar borong makanan Huanan, lokasi koronavirus dikesan di Wuhan, China pada 24 Januari 2020. Foto AFP

Jangkitan ini, juga dikenali virus Wuhan, boleh mengakibatkan pneumonia atau radang paru-paru. Ia disebut sedemikian kerana bermula dari bandar berkenaan pada bulan lalu.

China mengenakan perintah kuarantin kepada hampir 20 juta penduduknya di Wuhan dan beberapa bandar berdekatan sebagai tindakan susulan terhadap virus itu.

Singapura sudah mengesahkan satu kes koronavirus, sementara Thailand pula merekodkan empat kes.

Berikut beberapa maklumat penting mengenai jangkitan berkenaan.

Simptom jangkitan

– Demam, batuk dan sesak nafas
– Kesukaran bernafas
– Cirit-birit

Kes lebih serius

– Pneumonia atau radang paru-paru
– Sindrom pernafasan akut teruk (SARS)
– Kegagalan buah pinggang
– Kematian

Rawatan

– Tiada vaksin
– Ubat antivirus boleh rawat jangkitan

Langkah pencegahan

– Elakkan mendekati haiwan
– Elakkan makan daging mentah atau tidak dimasak
– Elakkan tempat sesak dan individu yang mempunyai simptom
– Jaga kebersihan sekitar
– Pakai topeng penutup muka sekiranya batuk
– Cuci tangan sebelum menyentuh makanan
– Berjumpa doktor jika berasa kurang sihat

Negara yang disahkan terlibat (menurut laporan AFP)

– China (830 kes, 26 kematian)
– Hong Kong (2 kes)
– Macau (2 kes)
– Taiwan (1 kes)
– Korea Selatan (1 kes)
– Jepun (2 Kes)
– Vietnam (2 kes)
– Thailand (4 kes)
– Singapura (1 kes)
– Amerika Syarikat (1 kes)


Pengarang :